Buli siber boleh terbawa ke sekolah, cetus pergaduhan fizikal

3 Sep 2026 • 5:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Buli siber boleh terbawa ke sekolah, cetus pergaduhan fizikal

SHAH ALAM, 2 SEPT: Pertengkaran di TikTok, WhatsApp, Instagram atau permainan dalam talian berisiko terbawa ke sekolah sehingga mencetuskan pergaduhan fizikal jika konflik dibiarkan berlarutan.

Asisten Superintendan Yusmar Yadee Salim dari Unit Pencegahan Gangsterism Bukit Aman berkata buli siber boleh berubah menjadi ancaman dunia sebenar apabila disertai penghinaan berulang, provokasi dan tekanan rakan sebaya.

Menurutnya, penyebaran gambar atau video memalukan serta ugutan dalam talian boleh meningkatkan kemarahan sehingga pihak terbabit mahu menyelesaikan pertelingkahan secara bersemuka.

“Konflik boleh berpindah daripada alam maya ke sekolah. Pertengkaran di TikTok, WhatsApp, Instagram atau permainan dalam talian boleh diteruskan apabila pihak-pihak bertemu di sekolah,” katanya.

Image from: Buli siber boleh terbawa ke sekolah, cetus pergaduhan fizikal
Bicara Semasa bersama Asisten Superintendan Yusmar Yadee Salim di Ibu Pejabat Media Selangor Shah Alam pada 26 Ogos 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Yusmar berkata tahap risiko menjadi lebih serius apabila ugutan mula menyebut lokasi atau masa untuk bertemu, mengajak rakan menyertai konflik atau menyatakan hasrat untuk membalas.

Pendedahan maklumat peribadi dan ajakan kepada pihak lain untuk menyerang seseorang juga tidak boleh dianggap sekadar gurauan.

Beliau menegaskan bukan semua buli siber berakhir dengan keganasan fizikal, tetapi perubahan bentuk ancaman perlu dikesan sebelum keadaan memuncak.

Mangsa disaran tidak membalas dengan kekerasan, sebaliknya menyimpan mesej, tangkap layar, gambar atau bukti lain sebelum membuat laporan.

Maklumat boleh disampaikan kepada ibu bapa, guru kelas, guru disiplin, kaunselor atau pihak sekolah, manakala ancaman fizikal dan senjata perlu segera dirujuk kepada polis.

Pelajar atau orang awam yang mengetahui kanak-kanak berada dalam bahaya turut boleh menghubungi Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019-261 5999.

“Satu laporan awal boleh membantu pihak sekolah dan polis mengenal pasti risiko, melindungi mangsa dan menghalang kejadian daripada berulang,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved