
KOTA BHARU – Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak saudaranya yang masih di bawah umur sejak 2018 hingga 2022.
Tertuduh yang berusia 26 tahun tahun membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah dan Hakim Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, pemuda itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia enam tahun 10 bulan dan lapan tahun ketika kejadian di sebuah rumah di Kuala Krai pada pukul 12 tengah hari, 10 Januari 2018 dan 12.30 tengah hari, 3 Ogos 2019.
Bagi pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa merogol mangsa sama ketika mangsa berusia 10 tahun apabila hubungan tersebut dilarang di sisi undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin di lokasi sama kira-kira pukul 3 petang, 25 Mei 2020.
Mengikut tiga lagi pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang lagi anak saudaranya yang berusia 10 tahun di rumah tersebut kira-kira pukul 2.30 hingga 4 petang pada 30 Ogos 2020 hingga 11 Disember 2022.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketujuh dan kelapan, pemuda itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa kedua kira-kira pukul 2.30 petang, 11 Disember 2022.- KOSMO! ONLINE
The post Buruh didakwa perkosa, ‘sentuh’ dua anak saudara appeared first on Kosmo Digital.






