NVIDIA secara teknikalnya sudah dibenarkan untuk menjual komponen pemecut AI kepada syarikat-syarikat China, khususnya NVIDIA H200 yang telah dibangunkan secara khas untuk kegunaan latihan dan inferens AI di negara tersebut.
Walaupun begitu, setelah halangan jualan dibatalkan oleh kerajaan Amerika Syarikat, kerajaan China pula telah mengehadkan jumlah syarikat yang dibenarkan untuk membeli dan menggunakan komponen tersebut kerana pada waktu tersebut banyak syarikat pengeluar komponen pusat data China juga telah mula menawarkan komponen pemecut AI mereka sendiri, seperti syarikat-syarikat Huawei, Alibaba, Baidu dan sebagainya.
Walaupun begitu, terkini ia dilaporkan bahawa dua daripada syarikat teknologi terbesar di China, Tencent dan juga ByteDance telah mula menerima penghantaran 10 ribu komponen pemecut AI NVIDIA H200 setiap satu untuk tujuan latihan model AI masing-masing.

Laporan Financial Times mengatakan bahawa ini merupakan fasa pertama penghantaran komponen tersebut, kerana kedua-dua Tencent dan ByteDance nampaknya kini dibenarkan untuk membeli sehingga 100 ribu komponen tersebut. Akan tetapi, tidak kesemua komponen-komponen ini akan dihantar ke China kerana kerajaan tersebut mahukan majoriti pemecut-pemecut AI ini untuk tidak digunakan di negara tersebut.
Kerajaan China nampaknya masih lagi mahukan syarikat-syarikat teknologi besar menggunakan komponen yang dihasilkan secara domestik untuk mengurangkan kebergantungan terhadap komponen AI luar. Walaupun begitu, mereka juga mungkin sedar bahawa ia masih akan mengambil masa beberapa tahun sebelum komponen yang dikeluarkan China boleh bersaing dengan penawaran syarikat-syarikat seperti NVIDIA dan AMD.
Untuk pembelian yang dibuat oleh ByteDance dan Tencent yang tidak boleh dihantar ke China, mereka nampaknya menggunakan Hong Kong sebagai lokasi untuk penyimpanan sebelum ia dihantar ke pusat-pusat data mereka yang lain.
Sumber: Financial Times






