Powerwell raih pesanan RM190.4 juta bagi projek pusat data Johor

LocalBusiness & Finance
21 Sep 2026 • 6:23 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Powerwell raih pesanan RM190.4 juta bagi projek pusat data Johor Image from: Powerwell raih pesanan RM190.4 juta bagi projek pusat data Johor johardy21/09/2026 - 18:23 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

SHAH ALAM 21 Sept - Powerwell Holdings Berhad memperoleh dua pesanan belian bernilai keseluruhan RM190.4 juta untuk membekalkan peralatan pengagihan elektrik bagi sebuah projek pusat data di Johor, sekali gus menjadi perolehan terbesar dalam sejarah kumpulan itu.

 

Pesanan berkenaan diterima anak syarikat milik penuhnya, Powerwell International Sdn Bhd daripada pelanggan sedia ada, menurut kenyataan syarikat itu.

 

Powerwell akan membekal dan menghantar gear suis voltan rendah serta peralatan berkaitan bagi projek tersebut.

 

Pesanan berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan kumpulan mulai tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027 (FY27) hingga FY28.

 

Nilai pesanan terbaharu itu bersamaan kira-kira 71% daripada buku tempahan Powerwell sebanyak RM268.9 juta pada akhir Jun 2026, yang belum mengambil kira dua pesanan baharu tersebut.

 

Berdasarkan angka itu, buku tempahannya dianggarkan meningkat kepada kira-kira RM459.3 juta selepas mengambil kira pesanan terbaharu, walaupun syarikat tidak menyatakan jumlah terkini.

 

Permintaan pusat data pacu pertumbuhan

Powerwell berkata, pesanan berulang daripada pelanggan itu mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan kumpulan memenuhi keperluan projek berskala besar dan kompleks.

 

Perolehan itu turut menunjukkan permintaan kukuh terhadap infrastruktur pengagihan kuasa yang berdaya tahan dan boleh dipercayai, sejajar dengan perkembangan pesat industri pusat data di Johor.

 

Pada masa sama, kumpulan mempunyai peluang tender merangkumi sektor pusat data, tenaga boleh diperbaharui (RE), semikonduktor dan infrastruktur.

 

Powerwell sedang memperluas kapasiti pengeluarannya bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat selepas mencatat prestasi tertinggi pada FY26 serta permulaan yang menggalakkan bagi FY27.

 

Kumpulan itu berkata, ia akan terus memantau keadaan pasaran dan makroekonomi semasa dalam melaksanakan rancangan pengembangan tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved