Projek Atlas Melbourne 73 tingkat bernilai RM2.6 bilion perkukuh SP Setia di Australia

Business & FinanceProperty
17 Sep 2026 • 4:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek Atlas Melbourne 73 tingkat bernilai RM2.6 bilion perkukuh SP Setia di Australia Image from: Projek Atlas Melbourne 73 tingkat bernilai RM2.6 bilion perkukuh SP Setia di Australia amree17/09/2026 - 16:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 SeptSP Setia Berhad memulakan pembinaan projek kediaman setinggi 73 tingkat, Atlas Melbourne, bernilai A$940 juta (kira-kira RM2.6 bilion) di daerah pusat perniagaan (CBD) Melbourne, sekali gus mengukuhkan lagi kehadiran kumpulan dalam pasaran hartanah Australia.

 

Majlis pecah tanah projek di 383 La Trobe Street itu turut menyaksikan pelantikan Multiplex sebagai kontraktor utama, dengan Atlas dijangka menjadi antara pembangunan kediaman bertingkat tinggi utama dimulakan di CBD Melbourne selepas tempoh aktiviti pelancaran baharu yang lebih perlahan.

 

Sejak dilancarkan pada Oktober 2024, Atlas sudah mencatat jualan sebanyak 64% daripada keseluruhan 858 unit kediaman ditawarkan, mencerminkan permintaan pembangunan terletak di lokasi strategik dengan akses kepada rangkaian pengangkutan awam, institusi pendidikan serta kemudahan bandar.

 

"Pembinaan kediaman ini dijangka mengambil masa selama 52 bulan dan penyerahan unit pertama projek disasarkan menjelang September 2029, manakala penyerahan akhir dijadualkan sekitar Disember 2030," tambah SP Setia dalam satu kenyataan.

 

Menurutnya, perkembangan projek itu berlaku ketika pasaran kediaman CBD Melbourne menunjukkan tanda pemulihan dan peningkatan aktiviti, didorong permintaan terhadap kediaman di lokasi strategik yang ada akses kepada pengangkutan awam, institusi pendidikan, pekerjaan dan kemudahan bandar.

 

Pengerusi SP Setia, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata, Atlas Melbourne mencerminkan komitmen jangka panjang kumpulan terhadap Australia, selain mengukuhkan rekod prestasinya dalam membangunkan komuniti bandar berkualiti tinggi dan mempunyai tahap keterhubungan yang baik.

 

SP Setia_DagangNews2026

 

“Pencapaian hari ini mencerminkan pertumbuhan antarabangsa yang terancang dan berdisiplin. Atlas memperkukuh portfolio kami di Melbourne, serta menyumbang kepada bekalan kediaman berkualiti di bandar pada ketika permintaan terhadap kediaman berhubung baik kekal berdaya tahan,” katanya.

 

Beliau berkata pelantikan Multiplex turut meningkatkan keyakinan terhadap keupayaan projek itu dilaksanakan mengikut piawaian ditetapkan pihak berkuasa, berdasarkan pengalaman kontraktor berkenaan dalam projek bertingkat tinggi yang kompleks di Australia.

 

Multiplex sebelum ini pernah terlibat dalam pembangunan Sapphire by the Gardens milik SP Setia di Melbourne, selain mempunyai pengalaman melaksanakan projek bertingkat tinggi di negara berkenaan.

 

Terletak berhampiran RMIT University, University of Melbourne, Melbourne Central dan Flagstaff Gardens, Atlas menawarkan akses kepada kemudahan pendidikan, peruncitan, restoran serta rangkaian pengangkutan awam, dengan kemudahan termasuk Sky Club, Horizon Collective dan Wellness Club.

 

Atlas turut memperluaskan portfolio SP Setia di Australia yang merangkumi Sapphire by the Gardens, UNO Melbourne, Fulton Lane dan Parque Melbourne, manakala kumpulan merancang pembangunan tiga menara di tapak bekas Carlton United Brewery serta projek apartmen pertama di Sydney.

 

Ujar SP Setia, projek-projek berkenaan mencerminkan fokus kumpulan untuk mengembangkan kehadiran di bandar utama antarabangsa secara berdisiplin, dengan menekankan penyampaian pembangunan berkualiti, kehidupan bandar mampan dan pembentukan komuniti. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved