
SEPANG: Jika ada cadangan supaya Malaysia menganjurkan Formula 1 (F1) secara berselang-seli, sama ada dua atau empat tahun sekali, dilihat tidak realistik berikutan keperluan serta struktur kontrak perlumbaan yang lazimnya membabitkan tempoh lebih panjang.
Pengerusi Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Tun Mahathir berkata, sekiranya Malaysia mahu kembali menjadi tuan rumah perlumbaan F1, biasanya Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) akan membuat usul cadangan kontrak selama lima tahun atau mengguna pakai formula 3+2.
Malah, menurutnya, cadangan menganjurkan F1 secara berselang-seli dengan Singapura juga bukan satu pilihan realistik kerana kedua-dua perlumbaan mempunyai karakter berbeza, selain negara tetangga itu tentunya tidak akan melepaskan peluang menganjurkan saingan berprestij itu saban tahun.
“Saya rasa Singapura tak akan lepaskan peluang untuk menganjurkan Formula 1. Jadi untuk buat selang-seli dengan Malaysia saya rasa tidak mungkin.
“Dulupun mereka mula 2008, kita habis 2017, tidak pernah ada situasi kita selang-seli setahun, setahun dengan Singapura,” katanya ketika ditemui pemberita pada Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.
Pada masa sama, beliau turut mengakui, SIC masih berkemampuan untuk mengendalikan perlumbaan F1 pada tahap terbaik selepas sembilan tahun tidak menganjurkan saingan berkenaan.
“Dari segi kemampuan litar, kita boleh buat. Sama ada kemampuan kewangan dan sebagainya, itu kita kena kaji dulu,” ujarnya.
Beliau yang juga bekas Pengerusi SIC turut menyifatkan penganjuran GP Bahrain di Malaysia tahun ini sebagai situasi unik susulan keadaan di Asia Barat yang menyebabkan perlumbaan tidak dapat diadakan di Sakhir, sekali gus membuka peluang kepada Sepang untuk kembali menjadi tuan rumah F1 selepas sembilan tahun.
Bagaimanapun, beliau berharap, jika Malaysia berhasrat untuk sekali lagi bergelar tuan rumah, tanggungjawab itu biarlah hadir bukan disebabkan faktor luaran seperti mengisi kekosongan negara lain akibat isu ketegangan politik.
Ini kerana, katanya, Malaysia bukan negara pengganti mana-mana tuan rumah dan SIC layak adalah disebabkan kemampuan untuk menjadi penganjur perlumbaan termahal di dunia itu.
Mengulas mengenai peluang tersebut, Mokhzani berkata, sambutan luar biasa terhadap kepulangan F1 ke Sepang wajar dinilai dari sudut impak ekonomi, termasuk kepada hotel, restoran, syarikat penerbangan dan sektor pelancongan.
“Kira-kira 4,000 pelancong dari Bahrain sahaja dilaporkan berada di Malaysia sempena perlumbaan ini, malah sebahagian daripada mereka tiba lebih awal dan dijangka pulang selepas perlumbaan berakhir,” katanya.
Menurut beliau, walau apa juga cadangan atau usul, keputusan akhir masih tetap terletak di tangan Kerajaan Malaysia kerana ia membabitkan soal kewangan dan faktor-faktor lain.
“Ia terpulang kepada kerajaan. Mereka akan berada di sini dan melihat sendiri impak yang dibawa F1 kepada litar, Kuala Lumpur dan Malaysia secara keseluruhannya,” kata beliau. – UTUSAN
The post Cadangan F1 dua, empat tahun sekali tidak realistik – Mokhzani appeared first on Utusan Malaysia.





