amree12/11/2026 - 09:50 Gambar hiasan - Foto BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Nov — Cadangan bagi suami rakyat Malaysia memindahkan sebahagian caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada isteri warga asing kini dalam penelitian kerajaan, sekali gus membuka kemungkinan perluasan manfaat skim i-Sayang kepada lebih ramai pasangan di negara ini.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata, kerajaan menerusi KWSP akan meneruskan kajian terhadap cadangan memperluas skop dan kelayakan penerima i-Sayang bagi membolehkan isteri yang bukan warganegara turut boleh menerima pindahan caruman secara sukarela daripada suami rakyat Malaysia.
Menurut kementerian berkenaan, penelitian secara menyeluruh namun diperlukan bagi memastikan sebarang peluasan skim itu selaras dengan matlamat asal i-Sayang, selain mengambil kira kepentingan melindungi simpanan persaraan keluarga dan aspek kelestarian program tersebut.
"Antara perkara yang perlu dinilai kerajaan termasuk implikasi terhadap perlindungan serta matlamat simpanan persaraan, selain aspek perundangan, tadbir urus, operasi dan kemampanan program berkenaan sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat," jelasnya.
MOF menyatakan demikian dalam jawapan bertulis menerusi laman web rasmi Parlimen bagi menjawab pertanyaan Rodziah Ismail (PH-Ampang) mengenai strategi dan mekanisme pelaksanaan cadangan perluasan i-Sayang kepada isteri bukan warganegara.
Cadangan itu ujar kementerian, turut mengambil kira keadaan semasa apabila suami bukan warganegara dibenarkan membuat pindahan caruman secara sukarela menerusi i-Sayang kepada isteri mereka yang merupakan rakyat Malaysia.

Tambahnya, skim i-Sayang merupakan inisiatif kerajaan yang membolehkan suami memindahkan secara sukarela sebanyak 2% daripada caruman pekerja KWSP mereka ke akaun simpanan persaraan isteri.
"Sejak diperkenalkan agensi tabungan tersebut pada Mac 2023, seramai 233,371 suami di seluruh negara sudah berdaftar sebagai pencarum, membabitkan 233,547 isteri sebagai penerima manfaat skim berkenaan," kata MOF.
Setakat 31 Ogos 2026, jumlah keseluruhan caruman yang dipindahkan menerusi i-Sayang mencecah RM563.6 juta, mencerminkan penyertaan ribuan pasangan dalam inisiatif perkongsian simpanan persaraan itu.
Bagaimanapun, MOF menegaskan cadangan perluasan berkenaan masih memerlukan penilaian terperinci dan belum dimuktamadkan kerana kerajaan perlu memastikan pelaksanaannya tidak menjejaskan perlindungan simpanan persaraan serta kelestarian skim KWSP.
Penelitian itu dijangka menjadi asas kepada pertimbangan kerajaan dalam menentukan kesesuaian perluasan i-Sayang, khususnya bagi memastikan lebih ramai pasangan dapat menikmati manfaat simpanan persaraan melalui mekanisme yang mampan dan teratur. - DagangNews.com





