
BANGI: Dua emas yang diraih hari ini menyuntik keyakinan buat gimnas Selangor, Cadence Teh Zi Qi untuk terus mengganas dalam final aparatus Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, esok.
Atlet berusia 18 tahun itu terlebih dahulu menampilkan aksi mantap untuk mengungguli acara individu keseluruhan dengan 48.550 mata sebelum membantu Selangor menambah satu lagi emas menerusi acara berpasukan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Audi Zulkarnien dari Sarawak meraih perak selepas mengumpul 44.500 mata, manakala Annabelle Ho Sym Vee dari Wilayah Persekutuan dan Amanda Ch’ng Lee Wern dari Pulau Pinang berkongsi gangsa dengan 42.250 mata.
Cadence kini mengalihkan fokus kepada final aparatus dengan sasaran untuk menambah dua lagi emas menerusi palang tidak sejajar dan batang titian, selain mengintai perak dalam acara senaman lantai.
“Saya sasarkan tempat pertama untuk palang tidak sejajar dan batang titian, manakala acara senaman lantai saya sasarkan pingat perak kerana rakan sepasukan kebangsaan, Yeap Kang Xian mempunyai tahap kesukaran lebih tinggi dalam acara itu.
“Apa-apa pun, saya mahu fokus kepada rutin agar tidak terlalu gementar supaya dapat memperagakan aksi terbaik,” katanya.
Bagaimanapun, perjalanan Cadence menuju emas individu keseluruhan bukan tanpa detik mencemaskan apabila dia terjatuh ketika melakukan rutin di palang tidak sejajar.
“Saya bermula di palang tidak sejajar, ia bukan permulaan yang baik kerana saya sedikit gementar dan tidak dapat merasai pergerakan badan dengan baik,” katanya.
“Selepas itu saya bangkit dan keadaan menjadi lebih baik, terutama di batang titian dan acara senaman lantai,” katanya.
Dalam acara berpasukan pula, Selangor mengesahkan emas dengan 169.3 mata, manakala Wilayah Persekutuan meraih perak menerusi 166.3 mata dan Johor melengkapkan podium dengan 157 mata. – UTUSAN
The post Cadence mahu butir dua lagi emas appeared first on Utusan Malaysia.






