
KUALA LUMPUR - Dakwaan seorang pelancong asing bahawa dia menjadi mangsa caj melampau dan ugutan pemandu teksi haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna media sosial, yang menggesa penguatkuasaan terhadap pengangkutan tidak berlesen dipertingkatkan.
Dalam satu hantaran yang tular di laman Facebook, pelancong berkenaan, Mitra Ardron, berkongsi pengalaman yang didakwanya berlaku selepas tiba di KLIA Terminal 2 menerusi penerbangan dari Kolkata, India.
Menurutnya, dia berdepan masalah untuk mengakses internet mudah alih akibat gangguan pada eSIM yang digunakan, sekali gus menyukarkan usaha mendapatkan maklumat pengangkutan di lapangan terbang.
Ketika berjalan keluar dari terminal untuk menaiki perkhidmatan shuttle ke Terminal 1, dia dikatakan dihampiri seorang lelaki yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan.
Menurutnya, pada mulanya dia menolak tawaran tersebut, namun individu berkenaan berulang kali memaklumkan bahawa perkhidmatan shuttle dan tren masih belum beroperasi serta memberi amaran beliau mungkin terlepas penerbangan sambungan jika tidak menerima tawaran itu.
Pemandu tersebut juga dikatakan memberi jaminan tambang perjalanan akan dikenakan mengikut kadar meter, menyebabkan beliau akhirnya bersetuju menaiki kenderaan berkenaan.
Bagaimanapun, perjalanan itu bertukar menjadi mencurigakan apabila pemandu terbabit tidak terus menuju ke Terminal 1, sebaliknya keluar dari kawasan lapangan terbang sebelum berhenti di sebuah stesen minyak.
Menurut Mitra, pemandu berkenaan meminta beliau mengeluarkan wang tunai di mesin pengeluaran automatik (ATM) selepas mengetahui beliau bercadang membuat pembayaran menggunakan kad.
Tambahnya, perjalanan tersebut mengambil masa lebih lama daripada kebiasaan bagi laluan antara kedua-dua terminal berkenaan.
Setibanya di Terminal 1, Mitra dimaklumkan bahawa tambang perjalanan berjumlah RM450, jauh lebih tinggi berbanding kadar biasa bagi perjalanan jarak pendek antara terminal.
Apabila dia mempertikaikan jumlah tersebut dan mencadangkan perkara itu disahkan dengan pihak berkuasa, pemandu terbabit telah mengunci pintu kenderaan dan enggan membenarkannya keluar sehingga bayaran dibuat.
Bimbang terhadap keselamatan diri, Mitra akhirnya membayar RM300 yang kemudiannya diterima oleh pemandu berkenaan sebagai bayaran muktamad.
Susulan kejadian, satu laporan polis telah dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Dalam perkongsiannya, Mitra turut mengingatkan pelancong lain supaya lebih berhati-hati dan mengelakkan diri daripada menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang ditawarkan individu tidak berlesen di kawasan lapangan terbang.
Insiden tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang menggesa tindakan tegas diambil terhadap kegiatan teksi haram, selain menyuarakan kebimbangan bahawa kejadian seumpama itu boleh menjejaskan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan antarabangsa. - Getaran, 2 Jun 2026






