sarah12/11/2026 - 15:32 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Nov - Perbelanjaan modal (capex) Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dijangka pulih pada 2027 selepas dua tahun pertumbuhan yang perlahan, sekali gus berpotensi merancakkan semula sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) negara.
MBSB Research berkata, pemulihan perbelanjaan modal itu dijangka didorong harga minyak mentah yang lebih tinggi, penyelesaian pelaburan besar dalam Pengerang Refining and Petrochemical (PRefChem) serta keperluan meningkatkan aktiviti huluan bagi mengekalkan pengeluaran minyak dan gas.
Menurut firma penyelidikan itu, capex sebenar PETRONAS menyusut 5% kepada RM16.8 bilion pada separuh pertama 2026 berbanding RM17.6 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, selepas mengecualikan pelaburan RM24.6 bilion dalam syarikat usaha sama dan syarikat bersekutu.
Walaupun capex keseluruhan PETRONAS dilaporkan sebanyak RM41.4 bilion bagi tempoh berkenaan, sebahagian besar pelaburan dalam syarikat usaha sama dan bersekutu dipercayai berkaitan suntikan modal ke dalam PRefChem menjelang pengambilalihan pemilikan penuh syarikat tersebut.
Harga minyak dijangka pacu pemulihan capex
MBSB Research menjelaskan bahawa kitaran perbelanjaan modal PETRONAS lazimnya mengikuti pergerakan harga minyak mentah Brent dengan kelewatan sekitar 12 hingga 18 bulan, berdasarkan corak sejarah yang menunjukkan hubungan rapat antara kedua-duanya.
Sejak 2015, arah perbelanjaan modal PETRONAS didapati seiring dengan perubahan harga Brent pada tahun sebelumnya bagi sembilan daripada 10 tahun, sekali gus menyokong jangkaan pemulihan capex pada 2027 susulan harga minyak yang lebih tinggi pada 2026.
Firma itu turut menjangkakan peningkatan aktiviti pelaburan huluan selepas PETRONAS membuat 18 keputusan pelaburan akhir (FID) pada separuh pertama 2026, manakala kemungkinan penyelesaian pertikaian antara PETRONAS dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) boleh menjadi pemangkin tambahan kepada pelaburan domestik.
Sektor OGSE berpotensi kembali berkembang
Menurut MBSB Research, pemulihan capex PETRONAS dijangka meningkatkan pemberian kontrak kepada pemain OGSE mulai 2027, sebelum kesannya terhadap pendapatan syarikat menjadi lebih ketara sepanjang 2027 hingga 2028 apabila projek dilaksanakan.
Sebagai perbandingan, capex domestik PETRONAS merosot 25% kepada RM25 bilion pada 2025 daripada kira-kira RM33 bilion pada 2024, manakala gabungan hasil lima syarikat OGSE yang dipantau firma itu menyusut 33% kepada RM5.6 bilion daripada RM8.4 bilion.
Sehubungan itu, MBSB Research mengekalkan pandangan positif terhadap sektor minyak dan gas dengan menjangkakan pemulihan perbelanjaan modal PETRONAS mampu menyokong pertumbuhan industri selepas dua tahun aktiviti pelaburan yang perlahan, walaupun peningkatan pendapatan syarikat OGSE dijangka berlaku secara berperingkat.- DagangNews.com






