Pengeluaran industri Malaysia dijangka tumbuh 5.8% pada 2026 dipacu AI, semikonduktor - RHB Research

LocalBusiness & Finance
11 Nov 2026 • 9:10 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengeluaran industri Malaysia dijangka tumbuh 5.8% pada 2026 dipacu AI, semikonduktor - RHB Research Image from: Pengeluaran industri Malaysia dijangka tumbuh 5.8% pada 2026 dipacu AI, semikonduktor - RHB Research sarah11/11/2026 - 09:10 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Nov - Permintaan global terhadap kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan peralatan pusat data dijangka terus memacu sektor pembuatan Malaysia, sekali gus menyokong unjuran pertumbuhan pengeluaran perindustrian negara sebanyak 5.8% bagi keseluruhan 2026, menurut RHB Investment Bank (RHB Research).

 

Firma penyelidikan itu berkata, prospek sektor pembuatan kekal kukuh berikutan peningkatan permintaan produk elektrik dan elektronik (E&E), pengembangan kapasiti industri bernilai tinggi serta aktiviti pelaburan domestik yang berterusan.

 

Menurut laporan Malaysia: Manufacturing Growth Remains Resilient, RHB Research mengekalkan unjuran pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) sebanyak 5.8% selepas mencatatkan peningkatan 5.7% bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

 

"Permintaan terhadap semikonduktor dan peralatan berkaitan pusat data yang semakin meningkat, disokong penggunaan AI dan pendigitalan global, dijangka terus menyokong aktiviti pembuatan Malaysia," menurut firma itu.

 

Pengeluaran pembuatan meningkat 9.4%

RHB Research berkata, IPP Malaysia meningkat 6.3% pada September berbanding 5% pada Ogos, mengatasi unjuran firma itu sebanyak 5.5% serta anggaran konsensus Bloomberg sebanyak 5.6%.

 

Pertumbuhan tersebut disokong peningkatan pengeluaran sektor pembuatan sebanyak 9.4% dan elektrik sebanyak 10.7%, manakala sektor perlombongan menguncup 9.4%. Pengeluaran komputer, elektronik dan produk optik pula meningkat 19.3%, diikuti mesin dan peralatan sebanyak 12.9%.

 

Kos pengeluaran kekal sebagai risiko

Bagaimanapun, RHB Research memberi amaran bahawa kenaikan harga minyak mentah dan ketegangan geopolitik, khususnya konflik di Asia Barat, boleh meningkatkan kos bahan mentah serta pengeluaran. Anggarannya menunjukkan setiap kenaikan 1% harga minyak Brent berpotensi meningkatkan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) sekitar 0.03% dalam jangka pendek dan 0.2% dalam jangka panjang.

 

Firma itu berkata, IHPR meningkat 12% pada September berbanding 10.7% pada Ogos, mencerminkan tekanan kos yang berterusan, khususnya dalam industri petroleum bertapis serta produk komputer dan elektronik.

 

Pertumbuhan jualan belum seiring kenaikan gaji

Sebagai perbandingan, DagangNews.com semalam melaporkan analisis BIMB Securities Research bahawa jualan sektor pembuatan meningkat purata 8.5% bagi sembilan bulan pertama 2026, namun pertumbuhan gaji pekerja masih di bawah 2% bagi tempoh sama. Walaupun kenaikan gaji mencecah 2.6% pada September, jurang antara pertumbuhan jualan dan pendapatan pekerja masih ketara.

 

BIMB Securities turut mengunjurkan pertumbuhan IPP lebih sederhana pada 4.3% bagi 2027 berbanding anggaran 4.8% tahun ini, sementara RHB menekankan bahawa kesinambungan pertumbuhan sektor pembuatan tahun depan bergantung kepada permintaan AI, pelaburan teknologi dan kemampuan industri meningkatkan produktiviti.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved