sarah11/11/2026 - 10:06 Gambar dari laman web Sunway REIT Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Nov - Dua projek pembangunan hartanah bernilai keseluruhan RM622 juta dijangka menjadi pemacu pertumbuhan baharu Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) mulai 2028, sekali gus mengukuhkan sumber pendapatan kumpulan selain perniagaan pusat beli-belah dan hotel sedia ada.
Menurut RHB Investment Bank (RHB Research), projek berkenaan merangkumi pembangunan Sunway Pier bernilai RM462 juta dan hotel baharu di Seberang Jaya, Pulau Pinang bernilai RM160 juta, yang dijangka memberikan sumbangan pendapatan lebih ketara mulai tahun kewangan 2028.
Firma penyelidikan itu berpandangan, kedua-dua pembangunan tersebut akan menyokong prospek pertumbuhan jangka panjang Sunway REIT, ketika kumpulan terus meningkatkan nilai aset sedia ada dan memperluas sumber pendapatannya.
Prospek pertumbuhan kumpulan turut disokong pembukaan semula Sunway 163 Mall secara berperingkat mulai Disember 2026, selain kerja menaik taraf tambahan Sunway Pyramid yang disasarkan pada suku pertama 2027.
Segmen runcit terus menyokong pendapatan
RHB Research berkata, usaha meningkatkan prestasi aset runcit dijangka membantu Sunway REIT memperoleh kadar sewaan lebih baik, manakala MBSB Research menjangkakan segmen itu terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan pendapatan kumpulan.
Menurut MBSB Research, pendapatan hartanah bersih (NPI) segmen runcit meningkat 12% bagi sembilan bulan pertama 2026, disokong prestasi kukuh Sunway Pyramid dan Sunway Carnival Mall serta sumbangan AEON Mall Seri Manjung yang baru diperoleh.
Sukan SEA 2027 beri peluang kepada segmen hotel
Sementara itu, MBSB Research menjangkakan Sunway Resort Hotel mendapat manfaat daripada penganjuran Sukan SEA ke-34 pada 2027 apabila hotel berkenaan berperanan sebagai hotel ibu pejabat temasya itu, sekali gus berpotensi meningkatkan kadar penginapan dan harga bilik.
Bagaimanapun, prestasi segmen hotel masih berdepan cabaran berikutan aktiviti mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) yang lebih perlahan serta ketegangan geopolitik di Asia Barat, yang menjejaskan kadar penginapan.
Keuntungan teras meningkat 5.6%
Bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2026, Sunway REIT mencatatkan keuntungan bersih teras RM349.1 juta, meningkat 5.6% berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala hasil bertambah 1.3% kepada RM675.7 juta.
MBSB Research berkata, prestasi kewangan itu menepati jangkaan apabila keuntungan bersih teras bagi sembilan bulan berkenaan mewakili 74% daripada unjuran tahun penuh firma itu dan 77% daripada anggaran konsensus pasaran.
Firma itu turut menjangkakan prospek pendapatan Sunway REIT lebih kukuh pada 2027, disokong prestasi segmen runcit yang stabil serta potensi pemulihan perniagaan hotel, khususnya menerusi peningkatan aktiviti pelancongan dan acara berskala besar.
Sehubungan itu, RHB Research menaik taraf saranannya terhadap Sunway REIT kepada 'beli' daripada 'neutral' selepas harga unit amanah berkenaan menyusut kira-kira 20% dalam tempoh enam bulan, dengan harga sasaran RM2.35 seunit, manakala MBSB Research mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran RM2.39 seunit.- DagangNews.com






