Carl Pei Ingin Nothing Mempunyai Sistem Operasi Tersendiri Seperti Huawei

TechnologyDigital
1 Nov 2024 • 3:54 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Carl Pei nampaknya berhasrat untuk Nothing mempunyai sistem operasi tersendiri agar syarikat mereka mempunyai satu kelainan berbanding pesaing. Beliau inginkan sistem operasi yang Nothing sendiri mempunyai kawalan, boleh mengubah industri dan pada masa yang sama menjana pendapatan.

Menurut Pei, memfokuskan perniagaan kepada perisian adalah lebih baik kerana pendapatan yang boleh dijana adalah lebih tinggi berbanding perkakasan seperti komponen dan sebagainya. Beliau turut yakin dengan era kecerdasan buatan generatif, membina sistem operasi sendiri adalah mudah.

Selain itu, Pei turut memberitahu yang Nothing ingin sistem operasi mereka boleh mengubah cara pengguna menggunakan peranti dan ingin hadir dengan satu inovasi. Selama lebih 40 tahun, sistem komputer sebenarnya tidak banyak berubah dan dengan memanfaatkan data pengguna yang tersimpan di dalam sesebuah komputer – satu sistem operasi yang unik dan lebih diperibadikan sebenarnya boleh dihasilkan.

image is not available

Sistem operasi di masa akan datang akan mempunyai integrasi AI, ia bukannya sistem operasi AI tetapi lebih kepada AI membantu melengkapkan sistem operasi ini. Nothing OS generasi seterusnya akan menggunakan AI sepenuhnya. Ia mungkin adalah langkah awal dalam konsep memperkenalkan sistem operasi baharu kerana Carl Pei sedar yang sistem operasi tersendiri sukar untuk bersaing dalam pasaran lagi-lagi apabila ada banyak ekosistem berbeza dan sokongan aplikasi dari pelbagai pembangun. Mungkin selepas Nothing OS 3.0 kita akan melihat sesuatu yang unik?