Ajiya jual hartanah industri di Puchong RM58 juta

1 Oct 2026 • 6:17 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ajiya jual hartanah industri di Puchong RM58 juta Image from: Ajiya jual hartanah industri di Puchong RM58 juta hamden01/10/2026 - 18:17 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 1 Okt - Ajiya Berhad (Ajiya) melalui anak syarikat milik penuhnya, Ajiya Safety Glass Sdn Bhd (ASG), bersetuju menjual sebuah hartanah industri di Puchong, Selangor kepada Esprit Care Sdn Bhd (ECSB) pada harga RM58 juta.

 

Ajiya dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, ASG pada 1 Oktober 2026 memeterai Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan ECSB bagi pelupusan sebuah kilang satu tingkat bersama pejabat dua tingkat yang dibina di atas tanah industri pegangan bebas.

 

Hartanah berkenaan terletak di PT 32341, Taman Perindustrian Puchong Utama, 47100 Puchong, dengan keluasan tanah kira-kira 13,536 meter persegi dan keluasan binaan kasar sekitar 9,839.52 meter persegi.

 

Menurut Ajiya, hartanah itu mempunyai nilai buku bersih (NBV) sebanyak RM37.03 juta pada 31 Disember 2025, manakala nilai pasaran yang dinilai oleh CBRE WTW Valuation & Advisory Sdn Bhd ialah RM40 juta setakat 10 September 2026.

 

Penilaian berkenaan merangkumi nilai tanah sebanyak RM27 juta dan nilai bangunan RM13 juta.

 

Harga pelupusan RM58 juta dipersetujui berdasarkan rundingan antara penjual dan pembeli atas asas pembeli yang bersedia dan penjual yang bersedia, selepas mengambil kira nilai pasaran indikatif hartanah tersebut.

 

Keuntungan

"Transaksi itu dijangka menghasilkan keuntungan kasar pro forma sebanyak RM25.45 juta, terdiri daripada harga jualan RM58 juta, ditolak NBV RM37.03 juta serta ditambah pembalikan liabiliti cukai tertunda sebanyak RM4.48 juta," katanya.

 

Ajiya berkata, hasil pelupusan akan digunakan untuk menyokong keperluan modal kerja Kumpulan, membiayai inisiatif pengembangan perniagaan yang sedang berjalan, membiayai aktiviti perniagaan berpotensi serta menyokong kemungkinan pengagihan dividen.

 

Kumpulan menyasarkan untuk menggunakan sepenuhnya hasil pelupusan dalam tempoh 12 bulan selepas transaksi diselesaikan.

 

Menurut Ajiya, cadangan pelupusan itu merupakan sebahagian daripada usaha penstrukturan semula dan penyatuan Kumpulan bagi merasionalisasikan portfolio aset, memperkemas operasi serta menyelaraskannya dengan keperluan perniagaan semasa dan masa depan.

 

Pelupusan itu dijangka meningkatkan kecairan dan fleksibiliti kewangan Kumpulan, memudahkan penyatuan sumber serta menyediakan modal kerja tambahan untuk menyokong operasi dan inisiatif perniagaan masa hadapan.

 

Ajiya berkata, transaksi berkenaan tidak dijangka memberi kesan material terhadap aset bersih dan gearing Kumpulan, selain tidak memberi kesan material terhadap pendapatan atau pendapatan sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.

 

Penjualan tidak jejaskan operasi

Dari segi operasi, kapasiti pengeluaran yang sebelum ini berkaitan dengan hartanah tersebut telah disepadukan sepenuhnya ke dalam fasiliti utama Kumpulan.

 

Justeru, pelupusan itu tidak dijangka memberi kesan buruk material terhadap operasi perniagaan harian atau kapasiti pembuatan Kumpulan.

 

Cadangan pelupusan itu tertakluk kepada kelulusan dan persetujuan Pihak Berkuasa Negeri yang berkaitan bagi pemindahan hartanah kepada pembeli, namun tidak memerlukan kelulusan pemegang saham Ajiya.

 

Jika tiada keadaan luar jangka, cadangan pelupusan dijangka diselesaikan pada suku pertama 2027. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved