
Kisah perjuangan seorang anak muda keturunan Kadazan-Siam untuk mengejar cita-cita sebagai pendidik mendapat perhatian aktivis, Raja Shamri, yang menyeru orang ramai membantu meringankan beban keluarganya.
Lovely Sabana Augustine, anak bongsu daripada empat beradik, berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebelum menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Namun, di sebalik kejayaan itu, Lovely berdepan kekangan kewangan apabila keluarganya tidak mempunyai kemampuan untuk menyediakan kos pendaftaran dan keperluan asas sebagai mahasiswa.
Keluarga serba sederhana, ibu jadi tulang belakang
Menurut Raja Shamri, bapa Lovely yang merupakan bekas anggota tentera berketurunan Kadazan meninggal dunia akibat angin ahmar pada 2017.
Ibunya, Mek Kenui pula berketurunan Siam dan beragama Buddha, kini menjadi tulang belakang keluarga dengan bekerja sebagai tukang cuci sekolah dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan.
Bagi menambah pendapatan keluarga, Mek Kenui turut menjaga tempat letak kereta di sebuah masjid pada setiap Jumaat ketika umat Islam menunaikan solat Jumaat. Beliau juga merupakan anggota RELA
Tiga abang Lovely masing-masing bekerja sebagai jurujual pasar raya, pembantu kedai dan pekerja kampung, namun pendapatan yang diperoleh masih belum mampu mengubah kehidupan keluarga mereka yang serba sederhana.
Baca juga:
Premis di Kulai ditutup selepas Jalur Gemilang, bendera Johor dipasang terbalik
Caprice diperintah mohon maaf, bayar RM220,000 kepada Ebit Lew
Polis Pahang nafi dakwaan kartel dadah besar beroperasi di Genting Highlands
Dalam keadaan serba kekurangan itu, Lovely tetap berusaha mencapai impiannya sehingga berjaya mendapat tempat di UPSI dalam program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Moral dengan Kepujian.
Memerlukan sumbangan tampung keperluan
Lovely dijadualkan mendaftar pada 12 September ini dan memerlukan RM2,232.35 bagi bayaran pendaftaran. Selain itu, dia turut memerlukan sebuah komputer riba, kelengkapan pengajian serta keperluan diri untuk memulakan kehidupan sebagai mahasiswa.
Raja Shamri berkata, Mek Kenui kini buntu memikirkan cara untuk menyediakan keperluan tersebut dengan pendapatan yang ada.
Justeru, beliau mengajak orang ramai tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama untuk bersama-sama membantu Lovely merealisasikan impiannya.
“Walaupun kita berlainan bangsa dan agama, kita tetap berkongsi satu perkara — kita semua rakyat Malaysia,” katanya.
Menurutnya, sumbangan orang ramai, tidak kira besar atau kecil, mampu menjadi langkah penting buat Lovely untuk memulakan pengajian dan membina masa depan yang lebih baik.
Lovely yang bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik kini hanya memerlukan sedikit sokongan daripada masyarakat bagi membolehkannya melangkah ke UPSI dan meneruskan perjuangan akademiknya.
Raja Shamri turut berharap lebih ramai insan yang prihatin tampil membantu Lovely dan keluarganya agar urusan pendaftaran serta keperluan pengajian anak muda itu dapat dipermudahkan.
The post Cemerlang STPM, anak bekas tentera perlukan bantuan melangkah ke UPSI appeared first on The Reporter.






