CEO Alam Maritim, Azmi Ahmad bebas tahanan reman SPRM dan kembali jalankan tugas serta-merta

LocalBusiness & Finance
19 Aug 2026 • 5:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CEO Alam Maritim, Azmi Ahmad bebas tahanan reman SPRM dan kembali jalankan tugas serta-merta Image from: CEO Alam Maritim, Azmi Ahmad bebas tahanan reman SPRM dan kembali jalankan tugas serta-merta amree19/08/2026 - 17:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Ogos — Selepas ditahan reman bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alam Maritim Resources Berhad, Datuk Azmi Ahmad, dibebaskan dan kembali menjalankan tugasnya berkuat kuasa serta-merta.

 

Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada 19 Ogos 2026 berkata, beliau telah secara rasmi dibebaskan daripada tahanan reman SPRM, sekali gus membolehkannya menyambung semula semua peranan eksekutif serta tanggungjawab kepimpinan dalam kumpulan.

 

Perkembangan terbaharu itu berlaku hanya dua hari selepas Alam Maritim mengesahkan bahawa Azmi ditahan reman bagi membantu siasatan SPRM. Syarikat pada ketika itu menegaskan bahawa penahanan reman tersebut adalah bagi tujuan membantu siasatan dan tidak bermaksud Azmi telah melakukan sebarang kesalahan.

 

Dalam pengumuman terbaharunya, Lembaga Pengarah Alam Maritim turut memberi jaminan bahawa operasi perniagaan harian, kedudukan kewangan dan tadbir urus strategik kumpulan kekal stabil serta tidak terjejas susulan perkembangan berkenaan.

 

Penahanan Azmi sebelum ini mendapat perhatian pelabur apabila saham Alam Maritim mengalami tekanan di Bursa Malaysia. Pada 17 Ogos 2026, saham syarikat susut 2.5 sen atau hampir 10% kepada 24 sen, paras terendah sejak 5 Mac 2026.

 

Alam Maritim berkata pembebasan Azmi daripada reman membolehkan beliau kembali menerajui operasi kumpulan, termasuk melaksanakan tanggungjawab sebagai GMD dan GCEO serta memimpin hala tuju strategik syarikat.

 

Alam Maritim_DagangNews2026

 

Syarikat sebelum ini memaklumkan bahawa Lembaga Pengarah telah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kesinambungan operasi kumpulan sepanjang tempoh Azmi menjalani tahanan reman.

 

Alam Maritim merupakan penyedia perkhidmatan sokongan minyak dan gas (O&G) yang mempunyai aktiviti dalam perkhidmatan marin, kejuruteraan serta penyelesaian berkaitan industri tenaga. 

 

Dengan Azmi kini kembali menjalankan tugas, perhatian pasaran dijangka beralih kepada perkembangan lanjut siasatan SPRM serta sama ada terdapat sebarang implikasi terhadap operasi, kontrak dan prestasi kewangan kumpulan.

 

Lembaga Pengarah turut menegaskan bahawa operasi dan kedudukan kewangan kumpulan kekal stabil, memberikan isyarat bahawa perkembangan berkaitan siasatan tersebut setakat ini tidak menjejaskan kesinambungan perniagaan Alam Maritim.

 

Syarikat berkenaan dijangka terus memaklumkan kepada Bursa Malaysia sekiranya terdapat sebarang perkembangan material berkaitan perkara berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved