CEO didakwa tipu perniagaan dusun durian RM1.65 juta

LocalBusiness & Finance
27 Oct 2026 • 11:31 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Dusun durian

SHAH ALAM: Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat perdagangan buah-buahan dan sayur-sayuran dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan penipuan pembelian perniagaan dusun durian bernilai RM1.65 juta pada dua tahun lalu.

Tertuduh, Chan Huann Heng, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas mendengar pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, dia secara tidak jujur mendorong seorang pengarah syarikat mengeluarkan bayaran sebanyak RM1.65 juta bagi pembelian perniagaan dusun durian di Raub, Pahang pada 5 Februari 2024.

Huann Heng didakwa memperdaya mangsa supaya membuat bayaran melalui invois secara pindahan akaun dari syarikat Topone Solution Sdn. Bhd. Kepada DXN Industries (M) Sdn. Bhd.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan dekat sebuah rumah kelab di Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya.

Justeru, ahli perniagaan itu dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara satu hingga 10 tahun, sebatan dan juga boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin memohon mahkamah mengenakan jaminan satu persepuluh daripada jumlah nilai penipuan yang dipertuduhkan iaitu RM100,000.

Bagaimanapun, Peguam Dhanesh Subramaniam Nair memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana nilai yang dicadangkan itu bersifat menghukum ketika anak guamnya baru dituduh dan belum pun didapati bersalah.

“RM100,000 itu agak tinggi kerana sejak siasatan dijalankan perniagaannya terjejas. Tertuduh juga memberi kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang siasatan berjalan.

Selain itu, tertuduh mempunyai seorang isteri dan menyara kedua ibu bapanya. Mohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM50,000,” katanya.

Hakim Dazuki Ali kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah RM80,000 dengan seorag penjami warga tempatan serta menetapkan tarikh sebutan semula pada 30 November depan.

Sementara itu, Jason Wee yang mewakili mangsa sebagai peguam pemerhati ketika ditemui memaklumkan pihaknya sudah memfailkan tuntutan saman sivil berjumlah RM57 juta terhadap pengarah dan syarikat terbabit.

“Pertuduhan yang dihadapi oleh tertuduh adalah sebahagian kecil daripada keseluruhan kes antara anak guam dan tertuduh, pada hari ini. Kami juga sedang dalam proses tuntutan di mahkamah sivil dan sebagainya.

“Ia melibatkan penipuan dalam perniagaan melibatkan dusun durian dan juga sebuah kilang durian milik pihak ketiga. Tertuduh sebelum ini bertemu dengan anak guam kononnya bagi merangka satu projek yang difhamkan akhirnya tidak berlaku atau gagal,” jelasnya. – UTUSAN

The post CEO didakwa tipu perniagaan dusun durian RM1.65 juta appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved