CEO nafi tipu RM1.65 juta beli dusun di Raub

LocalBusiness & Finance
27 Oct 2026 • 11:40 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: CEO nafi tipu RM1.65 juta beli dusun di Raub

SHAH ALAM – Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat pemborong, pengimport dan pengeksport buah-buahan dan sayur-sayuran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menipu RM1.65 juta bagi pembelian dusun durian, dua tahun lalu.

Tertuduh, Chan Huann Heng, 58, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menipu Pengarah dan Pengerusi syarikat DXN Industries (M) Sdn. Bhd. Lim Siow Jin, 66 sebanyak RM1.65 juta bagi pembelian dusun durian di Raub, Pahang bagi pihak syarikat itu.

Tertuduh memperdaya mangsa menerusi invois syarikat Topone Solution Sdn. Bhd. yang seterusnya mendorong Siow Jin membuat pindahan wang RM1.65 juta daripada akaun DXN Industries ke akaun syarikat berkenaan.

Perbuatan itu dilakukan di Clubhouse, Tropicana Golf & Country Resort, Jalan Kelab Tropicana di sini pada 5 Februari 2024.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muaz Ahmad Khairuddin mencadangkan RM100,000 dan tiada syarat tambahan.

Peguam Dhanesh Subramaniam Nair memaklumkan susulan kes tersebut menyebabkan perniagaan tertuduh telah terkesan dengan jaminan dicadangkan begitu tinggi selain menjaga isteri dan ibu bapanya.

“Tertuduh telah memberi kerjasama dengan hadir memberikan keterangan sebanyak lima kali kepada SPRM. Mohon jaminan sebanyak RM50,000,” katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM80,000 bersama seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula pada 30 November depan.

Prosiding pada hari ini turut dihadiri peguam pemerhati syarikat DXN Industries iaitu Jason Wee dan Saddam Hadiff.

Sementara itu, Jason memaklumkan pihaknya telah memfailkan saman RM50 juta terhadap tertuduh di Mahkamah Kuala Lumpur pada dua tahun lalu.

Beliau berkata, tuntutan saman itu hanya sebahagian kecil daripada tindakan undang-undang lebih besar yang sedang diusahakan pihaknya terhadap tertuduh.

“Saman itu berjumlah RM50 juta. Kita sedang menunggu tarikh perbicaraan di Mahkamah Kuala Lumpur,” katanya.

Bagaimanapun, Jason tidak memperincikan keluasan dusun berkenaan atau sama ada projek itu turut membabitkan sebuah kilang.

Katanya, pembayaran RM1.65 juta itu dibuat oleh anak guamnya secara sekali gus selepas tertuduh mendekati mereka untuk menawarkan projek berkenaan.

“Tanah yang dikaitkan dengan projek itu pula difahamkan milik pihak ketiga. Projek yang ditawarkan itu tidak menjadi kenyataan dan gagal sepenuhnya,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan tertuduh ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada Februari 2024, bagaimanapun urusan pembelian dusun durian tersebut tidak berlaku. – KOSMO! ONLINE

The post CEO nafi tipu RM1.65 juta beli dusun di Raub appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved