hamden27/10/2026 - 15:56 Kredit gambar Unsplash KUALA LUMPUR 27 Okt - Ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat pemborong, pengimport dan pengeksport buah-buahan serta sayur-sayuran didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan menipu seorang ahli perniagaan berjumlah RM1.65 juta dalam urusan pembelian kebun durian di Raub, Pahang, pada 2024.
Chan Huann Heng, 58, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.
Menurut laporan FMT, tertuduh didakwa menipu pengarah dan pengerusi DXN Industries (M) Sdn Bhd, Lim Siow Jin, 66, dengan membuat representasi palsu bahawa bayaran RM1.65 juta melalui invois yang dikeluarkan oleh Topone Solution Sdn Bhd adalah bagi pembelian kebun durian untuk pihak syarikat milik Lim.
Chan didakwa secara tidak jujur mendorong Lim memindahkan wang berkenaan daripada akaun bank DXN Industries ke akaun bank Topone Solution di Jalan Kelab Tropicana di sini pada 5 Februari 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Muaz Khairuddin mencadangkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan mengambil kira jumlah wang yang terlibat.
Bagaimanapun, peguam bela Dhanesh Subramaniam Nair berkata anak guamnya memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Dazuki membenarkan Chan diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 30 November ini untuk sebutan semula kes. - DagangNews.com






