
PETALING JAYA – Aliran trafik di Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dilaporkan sesak sepanjang empat kilometer (km) susulan kejadian cerun runtuh berhampiran Ipoh, petang ini.
Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) menerusi perkongsian LLM Info Trafik memaklumkan, kejadian berlaku di Kilometer (KM) 263.6 arah selatan dari Terowong Menora menuju ke Ipoh Utara.
Menurut LLM, setakat pukul 4.28 petang, lorong kiri di lokasi kejadian terhalang susulan runtuhan berkenaan.
“Susulan terdapat cerun runtuh di KM263.6 arah selatan dari Terowong ke Ipoh (Utara). Lorong kiri terhalang. Trafik sesak empat kilometer.
“Awasi sebarang halangan di hadapan,” menurut makluman tersebut hari ini.
Berdasarkan imej televisyen litar tertutup (CCTV) yang dikongsikan, runtuhan tanah dapat dilihat berlaku di bahagian cerun bersebelahan lebuh raya berhampiran Vista Point.
Kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan di lokasi dan pengguna lebuh raya dinasihatkan mematuhi arahan petugas serta had laju yang ditetapkan. – KOSMO! ONLINE
The post Cerun runtuh berhampiran Terowong Menora, trafik sesak 4km appeared first on Kosmo Online.





