CGSI: Penyenaraian syarikat berskala besar bakal ubah corak pelaburan saham sektor pengguna

LocalBusiness & Finance
5 Aug 2026 • 9:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CGSI: Penyenaraian syarikat berskala besar bakal ubah corak pelaburan saham sektor pengguna Image from: CGSI: Penyenaraian syarikat berskala besar bakal ubah corak pelaburan saham sektor pengguna amree05/08/2026 - 09:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Gelombang penyenaraian baharu tawaran awam permulaan (IPO) syarikat pengguna berskala besar dijangka mengubah landskap corak pelaburan saham sektor itu di Bursa Malaysia.

 

Menurut analisis CGS International (CGSI), lebih banyak syarikat akan bersaing sengit bagi mendapatkan aliran modal, sekali gus memberi tekanan kepada penilaian saham-saham premium yang sedia ada.

 

Meskipun sektor pengguna masih ada prospek pertumbuhan positif, kemunculan IPO baharu seperti 99 Speed Mart, Eco-Shop, KK Mart dan BIG Caring dijangka menyebabkan berlaku pengalihan dana pelabur.

 

"Saham sektor pengguna dalam Bursa Malaysia sudah susut daripada 16% kepada 12%, yang menunjukkan perubahan sentimen pelabur kepada syarikat baharu dan risiko penilaian semula," jelas firma itu.

 

CGSI berkata, penilaian tinggi yang pernah dinikmati saham seperti Nestlé Malaysia dan QL Resources semakin mengecil apabila gandaan harga kepada pendapatan (P/E) hadapan jatuh kepada hanya 30 kali.

 

Pada masa sama, jumlah syarikat dalam indeks sektor pengguna Bursa Malaysia naik daripada 163 syarikat pada 2023 kepada 178 syarikat pada Julai 2026, namun nilai permodalan pasaran masih kekal.

 

sektor pengguna_DagangNews2026
Foto kredit Unsplash

 

Tambahnya, modal pelaburan kekal sekitar RM275 bilion, menunjukkan dana semakin terbahagi kepada lebih banyak pilihan dan menjadi bukti jelas berlakunya putaran modal dalam sektor pengguna.

 

"Pelabur dilihat mula mengurangkan pegangan dalam saham sedia ada bagi membiayai penyertaan ke atas beberapa IPO baharu berskala besar seperti 99 Speed Mart, Eco-Shop dan Empire Premium," kata CGSI.

 

Walaupun berdepan risiko penilaian semula, ia mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor pengguna budi bicara kerana permintaan domestik dijangka masih dipacu oleh perbelanjaan isi rumah.

 

Dalam kalangan saham bermodal besar, ia memilih Mr DIY kerana dinilai menarik dengan gandaan 18 kali P/E bagi 2027, lebih rendah berbanding banyak saham pengguna lain diniagakan melebihi 30 kali.

 

Selain itu, CGSI menjang banyak IPO sektor pengguna memasuki pasaran pada penilaian lebih 25 kali P/E, yang meningkatkan persaingan dana pelabur dan memberi tekanan kepada saham pengguna sedia ada.

 

"Pemangkin utama yang mampu mengembalikan momentum sektor ini termasuk pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG), penyaluran bantuan tunai kerajaan serta peningkatan ketibaan pelancong," jelasnya.

 

Bagaimanapun, ia mengingatkan gangguan rantaian bekalan, masalah logistik, kekurangan stok serta peningkatan kos operasi kekal risiko utama boleh menjejaskan prestasi syarikat pengguna. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved