
SERDANG – Dalam keadaan tubuh masih belum pulih sepenuhnya akibat cirit-birit dan keracunan makanan, atlet muda Perlis, Muhammad Firdaus Abdul Rahman membuktikan semangat juang luar biasa apabila mencipta kejutan dengan merangkul pingat emas lempar cakera lelaki pada penampilan sulungnya di Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026, hari ini.
Lebih mengagumkan, atlet berusia 17 tahun itu bukan sahaja berjaya menaiki podium, malah mencatatkan rekod peribadi terbaik (PB) apabila melakukan lontaran sejauh 44.32 meter (m) di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM).
Catatan berkenaan memperbaiki rekod terbaiknya sebelum ini iaitu 41.22m yang dilakukan pada Kejohanan Terbuka Chantaburi, Thailand pada Jun lalu.
Firdaus berkata, dia pada awalnya tidak menyasarkan sebarang pingat dalam penampilan pertamanya di pentas Sukma, sebaliknya hanya mahu menguji kemampuan diri dan memperbaiki rekod peribadi.
“Saya sangat bersyukur kepada Allah kerana mengizinkan saya pergi ke Sukma. Saya sebenarnya tidak sasarkan pingat kerana baru berusia 17 tahun.
“Saya datang dengan niat untuk buat PB sahaja, setakat kemampuan saya. Alhamdulillah, rezeki saya hari ini dapat emas,” katanya selepas pertandingan.
Kejayaan itu hadir selepas Firdaus terpaksa mengharungi tempoh sukar apabila mengalami cirit-birit selama dua hari sejak Selasa lalu, selain berdepan sakit perut yang teruk pada Rabu.
Malah, dia hanya mula berasa lega pada pagi sebelum turun beraksi.
“Saya kena cirit-birit sejak Selasa. Hari Rabu memang sakit perut sangat dan dua hari saya mengalami cirit-birit. Pagi tadi baru rasa lega,” katanya.
Namun, masalah kesihatan tersebut tidak cukup untuk menghalang pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan, Kangar itu daripada memberikan persembahan terbaik.
Sebaliknya, Firdaus memilih untuk mengetepikan kesakitan yang dialami dan memberikan fokus sepenuhnya kepada setiap percubaan demi membawa pulang kejayaan buat Perlis.
Kejayaan Firdaus turut menyaksikan Perlis mencatat keputusan membanggakan apabila pingat perak menjadi milik atlet negeri itu, Muhammad Haziq Danial Mohd Hafizullah yang merekodkan 42.77m.
Atlet Sabah, Syed Ali Syed Ahmad pula melengkapkan podium selepas menghasilkan lontaran sejauh 41.03m untuk membawa pulang gangsa.
Bagi Firdaus, kejayaan tersebut lebih bermakna apabila dia berjaya mengatasi atlet yang lebih senior dan juga rakan seperjuangannya sendiri, Haziq Danial.
Bagaimanapun, dia tidak menganggap kemenangan ke atas seniornya itu sebagai perkara utama, sebaliknya lebih mementingkan kejayaan Perlis mencipta podium berganda.
“Saya tidak fikir apa-apa pun mengenai kalahkan senior. Saya cuma mahu berjuang untuk Perlis dan dapatkan pingat emas.
“Saya juga mahu kami berdua naik podium,” katanya.
The post Cirit-birit dua hari, Firdaus tetap raih emas lempar cakera SUKMA appeared first on MYBERITA.






