liza21/10/2026 - 09:40 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Okt – Computer Forms (Malaysia) Bhd memohon kebenaran Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap keputusan Bursa Malaysia Securities yang mengenakan teguran awam ke atas syarikat itu berhubung pelanggaran keperluan penyenaraian berkaitan cadangan usaha sama kenderaan elektrik (EV) yang gagal direalisasikan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat penyedia perkhidmatan percetakan dan pengedaran borang itu berkata permohonan berkenaan difailkan di Mahkamah Tinggi pada Isnin dan turut melibatkan beberapa pengarahnya.
Namun identiti pengarah yang terlibat, tidak didedahkan.
Permohonan itu dibuat susulan tindakan Bursa Malaysia Securities pada 21 Julai lalu yang mengenakan teguran awam terhadap Computer Forms serta denda berjumlah RM2 juta ke atas lapan pengarah semasa dan bekas pengarahnya.
Usaha sama EV bernilai RM12.5 juta
Cadangan usaha sama dengan EA Mobility Holding Co Ltd itu diumumkan pada September 2022 sebagai sebahagian daripada rancangan Computer Forms untuk memasuki industri EV di Malaysia.
Berdasarkan perjanjian yang ditandatangani pada Januari 2023, Computer Forms dikehendaki mendapatkan tempahan pembelian yang disahkan serta menyuntik modal RM12.5 juta ke dalam syarikat usaha sama berkenaan selewat-lewatnya pada 30 Jun 2023.
Bagaimanapun, Bursa Malaysia Securities mendapati Computer Forms gagal membuat pendedahan yang tepat, lengkap dan tepat pada masanya mengenai perkembangan penting berkaitan usaha sama itu.
Menurut Bursa Malaysia Securities, kegagalan berkenaan menyebabkan pelabur tidak memperoleh maklumat yang diperlukan untuk membuat keputusan pelaburan secara termaklum.
ARTIKEL BERKAITAN: Bursa Malaysia tegur CFM, lapan pengarah didenda RM2 juta berhubung isu kerjasama EV bersama EA Mobility
Lapan pengarah dikenakan denda RM2 juta
Daripada lapan pengarah yang dikenakan tindakan, bekas pengarah eksekutif Datuk Hoo Swee Guan menerima denda tertinggi sebanyak RM450,000 bagi lima pelanggaran.
Pelanggaran itu merangkumi perkara berkaitan perjanjian usaha sama, notis opsyen jual (put option), pendedahan mengenai penamatan perjanjian serta salah nyata berkaitan perjanjian pemegang saham.
Pengerusi bebas bukan eksekutif Tan Sri Mazlan Lazim, bekas pengarah eksekutif Pang Nan Yew, pengarah bebas bukan eksekutif Wong Kok Seng dan bekas pengarah bebas bukan eksekutif Kho See Yiing masing-masing didenda RM300,000 berhubung pelanggaran berkaitan pengumuman perjanjian serta pendedahan mengenai penamatannya.
Sementara itu, bekas pengarah eksekutif Datuk Justin Lim Hwa Tat didenda RM150,000, manakala bekas timbalan pengerusi bebas bukan eksekutif Datuk Seri Tan Choon Hwa dan bekas pengarah bebas bukan eksekutif Tan Li Sin masing-masing didenda RM100,000 bagi pelanggaran berkaitan pengumuman perjanjian usaha sama.
Pengurusan kes ditetapkan 16 November
Computer Forms berkata pengurusan kes bagi permohonan mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman itu ditetapkan pada 16 November 2026.
Permohonan berkenaan merupakan langkah terbaharu syarikat untuk mencabar keputusan Bursa Malaysia Securities.
Computer Forms terlibat dalam perniagaan percetakan dan pengedaran borang komputer, borang stok serta borang khusus. - DagangNews.com






