liza26/08/2026 - 17:57 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Ogos – Perniagaan Corten muncul sebagai penyumbang hasil terbesar Signature International Berhad buat kali pertama selepas mencatat hasil RM77.8 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2QFY26), meningkat 20.7% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi itu menyaksikan Corten menyumbang 41% daripada keseluruhan hasil kumpulan pada suku berkenaan, mengatasi segmen kerja kemasan dalaman yang sebelum ini menjadi penyumbang utama hasil Signature International.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026 (1HFY26), Corten turut mencatat peningkatan ketara dalam keuntungan sebelum cukai kepada RM38 juta, naik 76.9% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Margin keuntungan segmen itu turut berkembang kepada 24.5% daripada 18.5%, mencerminkan peningkatan kecekapan dan sumbangan keuntungan yang lebih kukuh daripada perniagaan berkenaan.
Perubahan campuran hasil itu menjadi perkembangan penting bagi Signature International ketika kumpulan memperkukuh perniagaan dapur, almari pakaian dan penyelesaian kediaman dalam pasaran Malaysia serta serantau.
Corten Disokong Tempahan RM824 Juta
Kedudukan Corten juga disokong buku tempahan bernilai RM824 juta setakat 30 Jun 2026, meningkat 10.6% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Secara keseluruhan, Signature International mempunyai buku pesanan bernilai RM1.235 bilion setakat 30 Jun 2026, meningkat 4.7% berbanding tahun sebelumnya dan memberikan kumpulan kira-kira 1.5 kali ganda liputan hasil berdasarkan prestasi separuh tahun.
Jenama Signature menyumbang RM297 juta daripada jumlah buku tempahan itu manakala kerja kemasan dalaman menyumbang RM114 juta.
Buku tempahan kerja kemasan dalaman juga meningkat 16.3% berbanding suku sebelumnya, menunjukkan tempahan baharu bagi segmen berkenaan mula kembali meningkat.
Signature International akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek yang telah diperoleh bagi menjana hasil pada tempoh akan datang. Kumpulan turut berusaha mengekalkan margin keuntungan serta mengembangkan perniagaan penyelesaian kediaman di Malaysia dan pasaran serantau.
Hasil Kumpulan Terjejas Jadual Projek
Bagaimanapun, hasil kumpulan bagi 1HFY26 turun kepada RM401.4 juta daripada RM482.4 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, terutama disebabkan perbezaan masa pelaksanaan dan penyelesaian projek kerja kemasan dalaman.
Bagi 2QFY26, hasil kumpulan susut kepada RM189.6 juta daripada RM234.9 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Hasil kerja kemasan dalaman pula merosot 50.3% kepada RM58.7 juta bagi suku berkenaan, namun margin keuntungannya bertambah baik kepada 9.3% daripada 8.6%.
Menurut Signature International, penurunan sumbangan kerja kemasan dalaman lebih berpunca daripada jadual projek berbanding tekanan harga, menunjukkan prestasi segmen itu masih dipengaruhi masa pengiktirafan hasil projek.
Dalam pada itu, keuntungan sebelum cukai daripada tiga segmen operasi utama kumpulan meningkat 6.3% kepada RM58.2 juta bagi 1HFY26.
Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 1.75 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen FY2026 setakat ini sebanyak 3.5 sen sesaham.- DagangNews.com






