Hasil Leong Hup meningkat 3.5% kepada RM2.21 bilion pada 2QFY2026

LocalBusiness & Finance
26 Aug 2026 • 4:19 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hasil Leong Hup meningkat 3.5% kepada RM2.21 bilion pada 2QFY2026 Image from: Hasil Leong Hup meningkat 3.5% kepada RM2.21 bilion pada 2QFY2026 liza26/08/2026 - 16:19 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Leong Hup International Berhad mencatat peningkatan hasil sebanyak 3.5% kepada RM2.21 bilion bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2QFY2026) didorong pertumbuhan perniagaan makanan ternakan serta prestasi lebih baik segmen ternakan dan produk berkaitan ayam.

 

Bagaimanapun, keuntungan bersih kumpulan susut kepada RM104.23 juta berbanding RM118.63 juta pada suku sama tahun sebelumnya, apabila peningkatan hasil tidak dapat mengimbangi tekanan kos, khususnya dalam perniagaan makanan ternakan.

 

Keuntungan sebelum cukai juga susut kepada RM145.23 juta daripada RM155.96 juta manakala keuntungan operasi susut kepada RM171.54 juta berbanding RM180.82 juta. 

 

Bagi tempoh enam bulan pertama FY2026, hasil kumpulan bagaimanapun meningkat 2.9% kepada RM4.47 bilion daripada RM4.34 bilion manakala keuntungan bersih berjumlah RM245.84 juta berbanding RM259.31 juta setahun sebelumnya. 

 

Keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kumpulan bagi 2QFY2026 pula menurun 2.9% kepada RM249.81 juta, meskipun EBITDA bagi tempoh enam bulan meningkat 2.7% kepada RM532.22 juta. 

 

Prestasi Ternakan Bertambah Baik

Bagi segmen ternakan dan produk berkaitan ayam, hasil suku kedua meningkat 0.2% kepada RM1.3 bilion daripada RM1.3 bilion setahun sebelumnya, manakala EBITDA meningkat 2.7% kepada RM120.42 juta.

 

Di Malaysia, prestasi bertambah baik disokong harga dan jumlah jualan anak ayam sehari (DOC) yang lebih tinggi. 

 

Indonesia turut mencatat prestasi lebih baik hasil peningkatan harga serta jumlah jualan DOC, manakala Singapura mendapat manfaat daripada harga dan jumlah jualan ayam segar yang lebih tinggi. 

 

Di Vietnam, hasil dalam mata wang tempatan meningkat susulan jumlah jualan ayam broiler yang lebih tinggi, namun hasil yang dilaporkan dalam ringgit Malaysia merosot akibat kesan pertukaran mata wang. Sementara itu, prestasi Filipina terjejas akibat harga dan jumlah jualan ayam siap proses yang lebih rendah, sebahagiannya diimbangi sumbangan jualan telur yang bermula pada Julai 2025. 

 

Bagi tempoh enam bulan pertama, hasil segmen ternakan dan produk berkaitan ayam meningkat 1.9% kepada RM2.67 bilion, manakala EBITDA melonjak 19.1% kepada RM274.80 juta, menunjukkan peningkatan margin di pasaran utama kumpulan. 

 

Sebaliknya, perniagaan makanan ternakan mencatat pertumbuhan hasil lebih kukuh apabila hasil suku kedua meningkat 8.7% kepada RM904.15 juta. Namun, EBITDA segmen itu turun 7.3% kepada RM129.31 juta akibat kos bahan mentah yang lebih tinggi, menunjukkan tekanan margin walaupun jumlah jualan meningkat. 

 

Prestasi Suku Kedua Susut Berbanding Suku Sebelumnya

Berbanding suku pertama FY2026, hasil Leong Hup pada 2QFY2026 menurun 2.5% daripada RM2.26 bilion kepada RM2.21 bilion, manakala keuntungan operasi merosot 16.7% kepada RM171.54 juta.

 

Keuntungan sebelum cukai pula susut 20.4% kepada RM145.23 juta, dengan penurunan hasil antara lain disebabkan harga dan jumlah jualan anak ayam sehari (DOC) yang lebih rendah, harga ayam yang lebih rendah di Indonesia serta penurunan jumlah jualan ayam siap proses di Filipina.

 

Penurunan itu turut dipengaruhi harga telur yang lebih rendah di Malaysia. Namun, kesannya sebahagiannya diimbangi hasil makanan ternakan yang lebih tinggi di Indonesia dan Vietnam serta jumlah jualan anak ayam sehari bagi ayam penelur yang lebih tinggi di Filipina.

 

Dari segi kedudukan kewangan, jumlah aset kumpulan meningkat kepada RM6.9 bilion pada 30 Jun 2026 berbanding RM6.54 bilion pada akhir Disember 2025, manakala tunai dan baki bank berjumlah RM939.04 juta.

 

Dalam tempoh enam bulan pertama, Leong Hup turut membelanjakan kira-kira RM296.5 juta untuk pemerolehan hartanah, loji dan peralatan, meningkat ketara daripada RM164 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Kumpulan juga menerbitkan Sukuk Mudharabah bernilai RM200 juta pada 6 Mei 2026.  

 

Prospek Kekal Berhati-Hati

Bagi prospek FY2026, Leong Hup kekal berhati-hati positif terhadap segmen ayam berikutan asas permintaan domestik yang kukuh di rantau ini, dengan ayam kekal antara sumber protein yang paling mampu milik dan banyak digunakan.

 

Kumpulan menjangkakan penggunaan ayam dan telur per kapita kekal menggalakkan, disokong pertumbuhan penduduk serta peningkatan pendapatan boleh guna. 

 

Namun, tekanan kos input akibat ketegangan geopolitik di Timur Tengah dan risiko inflasi kos masih menjadi antara perkara yang perlu diberi perhatian. 

 

Leong Hup berkata pihaknya menjangkakan kesan langsung terhadap harga makanan ternakan kekal terkawal, selain akan terus melaksanakan pengurusan kos secara berhemat serta mengekalkan disiplin dalam pengurusan aliran tunai bagi menghadapi cabaran tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved