sarah08/10/2026 - 16:54 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Okt - PTT Synergy Group Bhd (PTT Synergy) dan Koperasi Kakitangan Bank Rakyat Bhd (Sekatarakyat) memulakan pembangunan Sekata E-Logistics Park di Pontian, Johor yang merangkumi lima unit gudang industri satu tingkat.
Dalam satu kenyataan berkata, projek itu susulan perjanjian yang ditandatangani pada Ogos 2026 dan dijangka menyokong perniagaan yang memenuhi keperluan pasaran tempatan serta Singapura.
Pembangunan berkenaan terletak dalam koridor ekonomi lebih luas yang berkaitan dengan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang dimuktamadkan Malaysia dan Singapura pada Januari 2025.
Pengerusi Eksekutif PTT Synergy, Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, Johor Selatan berada pada kedudukan strategik untuk menyokong perniagaan yang memenuhi pasaran Singapura, khususnya yang memerlukan pengurusan inventori cekap dan perkhidmatan logistik rentas sempadan.
“Johor Selatan berada pada kedudukan strategik untuk menyokong perniagaan yang memenuhi pasaran Singapura. Dengan menempatkan inventori lebih dekat dengan pasaran, perniagaan dapat bertindak balas dengan lebih pantas terhadap permintaan dan meningkatkan kecekapan rantaian bekalan,” katanya.

Beliau berkata majlis pecah tanah itu menandakan permulaan pelaburan yang bertujuan menyokong perniagaan dan aktiviti ekonomi di Pontian.
Sementara itu, Pengerusi Sekatarakyat, Datuk Mustafha Abd Razak berkata, pembangunan tersebut dijangka mewujudkan peluang perniagaan, pekerjaan serta aktiviti ekonomi sokongan di Pontian dan kawasan sekitarnya.
“Lokasi strategik Pontian di Johor Selatan memberi peluang untuk memperluas peranan ekonominya serta mengambil bahagian dalam pertumbuhan aktiviti perindustrian dan logistik di rantau ini,” katanya.
Kedua-dua syarikat berkata, pembangunan itu turut dilengkapi sistem penuaian air hujan dan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV).
Projek berkenaan menggabungkan pengalaman PTT Synergy dalam kerja tanah, pembangunan infrastruktur dan penyelesaian gudang dengan pelaburan Sekatarakyat dalam kemudahan perindustrian dan logistik.- DagangNews.com






