Cypark dapat kelulusan SEDA tambah kapasiti loji sisa kepada tenaga di Port Dickson

LocalEnvironment
12 Aug 2026 • 8:59 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Cypark dapat kelulusan SEDA tambah kapasiti loji sisa kepada tenaga di Port Dickson Image from: Cypark dapat kelulusan SEDA tambah kapasiti loji sisa kepada tenaga di Port Dickson johardy12/08/2026 - 08:59 Loji sisa kepada tenaga (WTE) milik Cypark di Port Dickson, Negeri Sembilan - Gambar Cypark Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Cypark Resources Bhd memperoleh kelulusan tarif galakan (FiT) untuk meningkatkan kapasiti loji sisa kepada tenaga (WTE) miliknya di Port Dickson, sejajar dengan langkah melaksanakan fasa kedua projek itu.

 

Kelulusan itu diberikan kepada anak syarikat milik penuhnya, Cypark Smart Technology Sdn Bhd, di bawah sistem FiT bagi 2026 yang dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), menurut Cypark dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Selasa.

 

Permohonan yang diluluskan itu melibatkan jumlah kapasiti terpasang sebanyak 44.73 megawatt (MW) dan kapasiti eksport bersih 29.99MW di bawah kategori biojisim bagi Loji Sisa Pepejal Modular Pemulihan dan Rawatan Termaju Sisa kepada Tenaga (SMART WTE) Cypark di Ladang Tanah Merah, Port Dickson.

 

“Kelulusan permohonan FiT ini merupakan pencapaian penting ke arah pelaksanaan Loji WTE Fasa 2,” kata Cypark.

 

Kelulusan itu diperoleh ketika Malaysia berusaha meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu menerusi program FiT.

 

Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata Malaysia meluluskan 42 projek tenaga boleh baharu menerusi pusingan bidaan FiT terbaharu yang melibatkan biojisim, biogas dan hidrokuasa kecil.

 

Projek berkenaan dijangka menarik pelaburan keseluruhan RM4.3 bilion dengan gabungan kapasiti penjanaan sebanyak 331MW.

 

Skim itu memainkan peranan penting dalam sasaran Malaysia untuk meningkatkan bahagian tenaga boleh baharu kepada 70% daripada kapasiti penjanaan terpasang menjelang 2050.

 

Menurut Akmal, projek berkenaan juga dijangka menjana permintaan tempatan kira-kira RM617 juta bagi enjin gas dan dandang, selain mewujudkan lebih 7,700 peluang pekerjaan tidak langsung di seluruh negara.

 

Saham Cypark ditutup meningkat setengah sen atau 0.71% kepada 71 sen pada Selasa, memberikan syarikat itu nilai pasaran RM584.21 juta. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved