Dagangan saham LYC Healthcare akan digantung 10 Ogos sebelum dinyahsenaraikan - Bursa Malaysia

LocalBusiness & Finance
3 Aug 2026 • 5:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Dagangan saham LYC Healthcare akan digantung 10 Ogos sebelum dinyahsenaraikan - Bursa Malaysia Image from: Dagangan saham LYC Healthcare akan digantung 10 Ogos sebelum dinyahsenaraikan - Bursa Malaysia johardy03/08/2026 - 17:35 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Dagangan saham LYC Healthcare Berhad akan digantung mulai pukul 9 pagi pada 10 Ogos 2026, sekiranya syarikat itu gagal mengemukakan laporan tahunan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 selewat-lewatnya pada 7 Ogos.

 

Bursa Malaysia turut memberi amaran bahawa prosedur penyahsenaraian akan dimulakan terhadap LYC Healthcare sekiranya syarikat itu gagal mengeluarkan laporan tahunan dan penyata kewangan tertunggak dalam tempoh enam bulan selepas tamat tempoh pelaporan pada 31 Julai 2026.

 

Bursa Malaysia Securities Bhd berkata, kumpulan penjagaan kesihatan yang disenaraikan di Pasaran ACE itu gagal mengemukakan laporan tahunan berkenaan untuk siaran awam dalam tempoh ditetapkan yang berakhir pada 31 Julai 2026.

 

Laporan tahunan itu merangkumi penyata kewangan tahunan yang telah diaudit berserta laporan juruaudit dan pengarah.

 

Kegagalan tersebut adalah di bawah Kaedah 9.23(1) Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Menurut Kaedah 9.28(5), sekiranya sesebuah syarikat tersenarai gagal mengeluarkan penyata kewangan tertunggak dalam tempoh lima hari pasaran selepas tamat tempoh pelaporan yang ditetapkan, Bursa Malaysia akan menggantung dagangan sekuriti syarikat itu pada hari pasaran berikutnya.

 

Bursa Malaysia berkata, penggantungan dagangan sekuriti LYC Healthcare akan berkuat kuasa sehingga diberitahu kelak.

 

Pertukaran juruaudit jejas proses audit

Pada 28 Julai lalu, LYC Healthcare memaklumkan, syarikat itu mungkin tidak dapat memenuhi tarikh akhir 31 Julai bagi mengeluarkan laporan tahunannya kerana juruaudit luar baharu memerlukan masa tambahan untuk melengkapkan proses audit.

 

Syarikat itu melantik SBY Partners PLT sebagai juruaudit luar pada 6 Mac 2026 selepas Crowe Malaysia PLT meletakkan jawatan pada 26 Februari 2026 berikutan kegagalan kedua-dua pihak mencapai persetujuan mengenai fi audit.

 

LYC Healthcare berkata, pihak pengurusan memerlukan masa tambahan untuk bekerjasama dengan SBY Partners bagi melengkapkan audit dan memuktamadkan penyata kewangan.

 

Syarikat itu sebelum ini menjangkakan laporan tahunan dan penyata kewangan teraudit bagi tahun kewangan 2026 dapat dikeluarkan selewat-lewatnya pada 7 Ogos. LYC Healthcare mencatatkan kerugian sejak tahun kewangan 2012.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, kerugian bersihnya meningkat kepada RM23.27 juta daripada RM17.07 juta pada tahun sebelumnya. Hasil pula merosot 13.7% kepada RM134.19 juta berbanding RM155.52 juta bagi tahun kewangan 2025. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved