PORT DICKSON - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim membuat dua laporan polis berhubung dakwaannya dipaksa menandatangani surat cara proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan lanjut akan dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan.
"Saya boleh sebut ada dua laporan polis dibuat oleh Menteri Besar. Menjadi kewajipan kita apabila menerima laporan untuk klasifikasikan tentang predikat dan hala tuju siasatan kertas pertuduhan yang akan dibuka.
“Tentunya saya serahkan kepada kebijaksanaan polis untuk melihat bagaimana mengendalikan aduan berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan tajaan umrah kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, Nurul Arini Abdullah, 19, bersama ibu dan dua gurunya di Kampung Bukit Tembok di sini pada Selasa.
**media[3648228]**
Mengulas lanjut Saifuddin Nasution berkata, masih terlalu awal untuknya memberikan ulasan lanjut berhubung perkara terbabit kerana beliau tidak mahu mengganggu siasatan polis.
Namun, beliau menasihatkan orang ramai supaya menghormati proses undang-undang dan menyerahkan kepada pihak berautoriti untuk menjalankan siasatan.
"Negara ini ada undang-undang dan Negeri Sembilan ini pula unik, ada undang-undang adat dan sebagainya.
"Jadi, apabila satu perkara timbul yang menjadi satu masalah dan diperkatakan, apa lagi nasihat terbaik selain daripada menyeru semua pihak supaya mengikut jalur hukum dan jalur undang-undang," katanya.
Tambahan pula kata Saifuddin Nasution, perkara tersebut juga sebahagiannya telah pun dibawa ke peringkat mahkamah.
Pada 9 September lalu, Ismail mendakwa beliau dipaksa menandatangani surat cara proklamasi berkenaan tanpa kerelaannya dan dalam keadaan paksaan (duress).
Beliau turut membuat laporan polis berhubung perkara itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan pihak berkuasa.
Ismail berkata, kerajaan negeri berpendirian bahawa surat cara tersebut adalah tidak memenuhi proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.






