Dana Belanjawan 2027 perlu sampai kepada usahawan bumiputera – Perdasama

LocalBusiness & Finance
12 Oct 2026 • 2:13 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dana Belanjawan 2027 perlu sampai kepada usahawan bumiputera – Perdasama

PETALING JAYA: Kerajaan perlu memastikan peruntukan Belanjawan 2027 dapat diakses dengan lebih mudah oleh usahawan bumiputera bagi memastikan inisiatif yang diumumkan benar-benar memberi manfaat kepada golongan berkenaan.

Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Mohd Azamanizam Baharon berkata, kejayaan belanjawan tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah peruntukan yang diumumkan semata-mata, sebaliknya melalui keberkesanan pelaksanaannya.

“Selepas tiga kitaran belanjawan terdahulu, mengapa masih terdapat usahawan Bumiputera yang menghadapi kesukaran mendapatkan akses kepada pembiayaan, peluang kontrak dan pelbagai kemudahan yang diwujudkan khusus untuk memperkasakan ekonomi mereka,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, terdapat usahawan yang sudah menghadiri taklimat, menyediakan kertas cadangan dan melengkapkan dokumen permohonan, namun masih berdepan proses susulan yang berpanjangan serta ketidakjelasan status permohonan.

Beliau berkata, kementerian, jabatan, institusi kewangan dan agensi pembangunan bumiputera perlu memainkan peranan lebih proaktif bagi membantu usahawan mendapatkan akses kepada kemudahan yang disediakan.

Antara inisiatif Belanjawan 2027 yang disambut baik Perdasama termasuk kemudahan pembiayaan mikro sehingga RM6.6 bilion, sasaran perolehan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Petronas sehingga RM58 bilion daripada syarikat bumiputera serta dana Teraju sehingga RM1 bilion.

Sehubungan itu, Perdasama mencadangkan mekanisme penyelarasan akses bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bumiputera dengan menyediakan panduan kelayakan, saluran permohonan dan tempoh pemprosesan yang jelas.

Mohd Azamanizam berkata, pemantauan pelaksanaan juga perlu diperkukuh dengan menilai jumlah pembiayaan diluluskan, kontrak diperoleh, peluang pekerjaan diwujudkan dan pertumbuhan perniagaan yang dicapai.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdasama menggesa GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memberikan peluang lebih besar kepada syarikat bumiputera berkeupayaan untuk menjadi kontraktor utama, bukan sekadar subkontraktor.

“Sudah tiba masanya agenda vendor bumiputera bergerak daripada penyertaan kepada pemilikan keupayaan, daripada subkontrak kepada kepimpinan projek dan daripada peluang sekali-sekala kepada pertumbuhan perniagaan yang mampan,” katanya.

Kerajaan dalam Belanjawan 2027 memperuntukkan RM6.6 bilion bagi pembiayaan mikro, sehingga RM1 bilion melalui Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) serta meningkatkan dana pembiayaan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad  (PUNB) kepada RM500 juta berbanding RM350 juta sebelum ini. – UTUSAN 

The post Dana Belanjawan 2027 perlu sampai kepada usahawan bumiputera – Perdasama appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved