sarah12/11/2026 - 12:21 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Nov - Keberkesanan pelbagai program pembiayaan awam bernilai berbilion ringgit untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia masih sukar dinilai berikutan kekurangan maklumat yang seragam mengenai penerima manfaat, kos kepada kerajaan dan hasil sebenar pembiayaan tersebut, menurut Bank Dunia.
Dalam laporan 'Malaysia Economic Monitor' edisi Oktober 2026 bertajuk 'From Quantity to Quality: Financing Malaysia’s Productive SMEs', Bank Dunia berkata, Malaysia sebenarnya mempunyai pelbagai instrumen pembiayaan untuk membantu PKS, namun maklumat yang diterbitkan belum mencukupi bagi menentukan sejauh mana bantuan itu menjana pelaburan produktif tambahan.
Menurut institusi itu, skim jaminan kredit, kemudahan pembiayaan berkos rendah, institusi kewangan pembangunan dan dana pelaburan bersama memainkan peranan berbeza dalam menyokong perniagaan, tetapi setiap instrumen turut membawa kos dan risiko yang perlu dinilai secara berasingan.
Bank Dunia menegaskan bahawa jumlah pembiayaan yang diumumkan atau diluluskan sahaja tidak mencukupi untuk mengukur kejayaan sesuatu program kerana penilaian turut perlu mengambil kira sama ada pembiayaan berkenaan benar-benar membantu firma melaksanakan pelaburan yang tidak mungkin berlaku tanpa sokongan awam.
Jaminan kredit dan pembiayaan bernilai berbilion ringgit
Berdasarkan data yang dihimpunkan Bank Dunia, Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) mencatatkan kelulusan baharu sebanyak RM4.2 bilion pada 2025, manakala jumlah terkumpul jaminan dan pembiayaan sejak penubuhannya mencecah RM103.7 bilion.
Pada akhir 2025, pendedahan jaminan tertunggak CGC berjumlah RM19.9 bilion, sementara tuntutan yang telah dibayar atau perlu dibayar direkodkan sebanyak RM318.5 juta, menunjukkan kepentingan membezakan antara jumlah pembiayaan, tanggungan jaminan dan kerugian sebenar.
Bagi kemudahan pembiayaan PKS Bank Negara Malaysia (BNM), laporan itu menyenaraikan peruntukan terkumpul sebanyak RM34.9 bilion pada 2026, bersamaan kira-kira 8% daripada jumlah kredit PKS, namun angka tersebut merupakan saiz kemudahan pembiayaan dan bukannya perbelanjaan atau kerugian BNM.
Bank Dunia turut merekodkan pendedahan RM57.5 bilion bagi beberapa skim jaminan Persekutuan setakat akhir Jun 2025, termasuk skim di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP), Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) dan skim lain, yang sebahagiannya tidak khusus kepada PKS.
Sukar tentukan kos sebenar kepada kerajaan
Menurut Bank Dunia, angka pembiayaan yang diterbitkan oleh pelbagai institusi tidak semestinya boleh dibandingkan secara langsung kerana sebahagiannya merujuk kepada kelulusan tahunan, peruntukan terkumpul, baki pinjaman atau pendedahan jaminan yang masih berkuat kuasa.
Perbezaan kaedah pelaporan itu menyukarkan penilaian menyeluruh terhadap jumlah sokongan awam yang benar-benar sampai kepada PKS, berapa banyak modal swasta berjaya digerakkan dan sama ada pembiayaan berkenaan menghasilkan peningkatan produktiviti.
Bank Dunia menjelaskan bahawa pendedahan jaminan kerajaan tidak boleh dianggap sebagai perbelanjaan fiskal sebenar kerana kos kepada kerajaan bergantung kepada risiko kegagalan pembayaran, struktur perkongsian risiko dan tuntutan yang akhirnya perlu ditanggung.
Selain itu, pelaporan yang tidak seragam turut mengehadkan keupayaan pembuat dasar menentukan sama ada program pembiayaan sedia ada perlu diperluas, disusun semula atau ditumpukan kepada firma yang menghadapi kekangan pelaburan tertentu.
Bank Dunia gesa laporan tahunan pembiayaan PKS
Sehubungan itu, Bank Dunia mengesyorkan supaya Kementerian Kewangan menyelaraskan penerbitan laporan tahunan yang seragam mengenai pembiayaan awam PKS, merangkumi jumlah peruntukan, pengeluaran dana, pendedahan risiko, subsidi, kerugian dijangka dan liabiliti luar jangka.
Laporan tersebut juga perlu memperincikan jumlah modal swasta yang berjaya digerakkan serta pencapaian firma penerima bantuan bagi membolehkan keberkesanan setiap instrumen pembiayaan dinilai berdasarkan hasil sebenar, bukan sekadar jumlah dana yang disediakan.
Bank Dunia menegaskan bahawa kerajaan perlu menilai program pembiayaan sedia ada sebelum meningkatkan peruntukan atau memperkenalkan skim baharu, manakala instrumen berisiko lebih tinggi seperti jaminan khusus teknologi dan pelaburan bersama wajar diuji secara terhad terlebih dahulu bagi memastikan sokongan awam benar-benar meningkatkan pelaburan produktif PKS tanpa menambah risiko fiskal yang tidak perlu.- DagangNews.com






