
SERDANG – Jaguh pecut Johor, Danish Iftikhar Muhammad Roslee melengkapkan kempen sensasi pada Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 apabila meraih emas ketiga peribadinya selain memecahkan rekod kejohanan acara 200 meter (m) lelaki di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), petang ini.
Selepas mengungguli acara 100m dan membantu kuartet 4x100m Johor meraih emas dengan rekod baharu kejohanan, Danish sekali lagi mencuri tumpuan apabila memecut pantas untuk menjuarai 200m menerusi catatan 20.85 saat (s).
Catatan itu menyaksikan pelari berusia 21 tahun tersebut memadam rekod Sukma 21.01s milik Muhammad Aqil Yasmin dari Selangor yang bertahan selama lapan tahun sejak dilakukan pada Sukma Perak 2018, selain hanya 0.52s dipisahkan daripada rekod kebangsaan 20.33s miliknya sendiri.
Lebih menarik, ia merupakan kali ketiga Danish berjaya mencatat masa di bawah 21s dalam acara berkenaan, sekali gus melengkapkan pencapaian tiga emas buat dirinya dalam saingan olahraga edisi kali ini.
“Selepas melalui semua perlumbaan sejak hari pertama sehingga hari ini, Alhamdulillah sahaja yang saya mampu katakan. Saya berjaya mengharungi acara 100m, 4x100m dan 200m dengan baik,” katanya.

Pingat perak 200m lelaki menjadi milik wakil Kedah, Muhammad Umaira Subri yang mencatat 21.23s, manakala rakan sepasukan Danish, Muhamad Airiel Iskandar Rusli melengkapkan podium dengan gangsa menerusi catatan 21.35s.
Prestasi luar biasa itu turut membuka peluang buat Danish untuk memburu gelaran Olahragawan Sukma Selangor 2026, namun dia enggan terlalu memikirkan mengenai pengiktirafan tersebut selepas mencapai sasaran dalam setiap acara disertainya.
Sementara itu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira turut melengkapkan gelaran berganda buat dirinya selepas menambah emas 200m wanita dengan catatan 24.42s, beberapa hari selepas dinobatkan sebagai ratu pecut 100m Sukma menerusi catatan 11.73s.
Dalam saingan 200m wanita, wakil Selangor, Lim Mei Yin meraih perak dengan catatan 24.86s, manakala Terengganu turut membawa pulang gangsa menerusi Nor Aliya Najihah Muda yang menamatkan perlumbaan dengan masa 25.39s. KOSMO! ONLINE
The post Sukma 2026: Danish lengkap hatrik emas, pecah rekod 200m appeared first on Kosmo Digital.






