SUKMA 2026: Kuartet Johor lebur rekod 10 tahun 4x100m

17 Aug 2026 • 7:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: SUKMA 2026: Kuartet Johor lebur rekod 10 tahun 4x100m
Aksi Haziq Ilmani, Muhammad Airiel, Adam Harith dan Danish Iftikhar sejurus menamatkan acara 4x100 meter lelaki akhir pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Kompleks Sukan UPM pada Isnin. Foto Bernama

JOHOR memecahkan rekod 4x100 meter (m) lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) yang berusia 10 tahun sekali gus menyambar emas pada edisi SUKMA Selangor 2026 di sini pada Isnin.

Kuartet dibarisi Mohamad Haziq Ilmani Osman, Muhamad Airiel Iskandar Rusli, Adam Harith Hairulaydel dan Danish Iftikhar Muhammad Roslee unggul melintasi garisan penamat dengan catatan masa 39.46 saat (s) pada aksi final di Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Catatan mereka mengatasi rekod temasya sebelum ini, iaitu 39.89s yang dilakukan kuartet Melaka terdiri daripada Asnawi Hashim, Badrul Hisyam Abdul Manap, Muhammad Azam Masri dan Khairul Hafiz Jantan pada edisi 2016.

Kuartet Sabah yang turut mencatat masa lebih baik daripada rekod temasya sebelum ini bagaimanapun terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mencatat 39.88s, manakala tuan rumah Selangor meraih gangsa dengan catatan 40.29s.

"Kami mempunyai keyakinan sebagai satu pasukan, pasukan Johor. Alhamdulillah kami berjaya mencatatkan rekod baharu kejohanan dan meraih pingat emas untuk Johor. Kami memang tidak menyangka dan sangat bersyukur,” kata Danish Iftikhar kepada pemberita selepas acara berkenaan.

Kemenangan itu turut menyaksikan Danish Iftikhar meraih pingat emas keduanya selepas memenangi acara 100m lelaki semalam.

Sementara itu, bagi Muhamad Airiel, kejayaan itu sedikit sebanyak mengubat kekecewaan selepas gagal menaiki podium acara 100m apabila menamatkan saingan di tempat keempat.

"Saya bersyukur dan gembira sebab semalam saya sudah cuba buktikan dekat semua orang yang saya boleh, Alhamdulillah.

"Saya bercakap dengan semua dalam pasukan yang saya berdoa agar dapat tebus balik dalam acara 4x100m dan saya sangat gembira apabila kami dapat mencatatkan rekod baharu,” katanya.

Sebagai rekod, Johor gagal menamatkan perlumbaan pada edisi 2024 yang menyaksikan Selangor meraih pingat emas, diikuti Sabah merangkul perak dan Pahang gangsa. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved