Dari Suka ‘Ganggu’ Abang Main Catur Kini Ke Pentas Dunia, Budak 7 Tahun Dah Berjaya Kumpul Lebih 60 Pingat & Piala

11 Mar 2025 • 9:29 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Bila sebut sahaja tentang kanak-kanak, pasti ramai dah terbayang sikap mereka yang suka bermain dan meneroka benda baharu dalam kehidupan.

Pada ketika inilah setiap perkara menjadi ilmu dan pengalaman baharu bagi kebanyakan si cilik.

Kadangkala, ketika bermain atau berinteraksi dengan ibu bapa dan rakan pun boleh menjadi tempat untuk mereka mempelajari sesuatu.

Asalnya Suka Usik Abang, Si Cilik Kini Tempa Nama Di Mata Dunia

Siapa sangka, dari suka ‘menganggu’ abangnya bermain catur ketika usia empat tahun, si cilik, Alisya Zehra Mohd Izuan kini berjaya mengumpul lebih 60 pingat dan piala serta mewakili Malaysia ke pertandingan catur antarabangsa.

Walaupun baru berusia tujuh tahun, Alisya yang merupakan Juara Catur Kebangsaan U8G akan mewakili Malaysia menyertai pertandingan di Greece pada 12 hingga 18 April ini.

Malah, kesemua pingat dan piala kejuaraan yang dikumpul adalah hasil kejayaan Alisya yang menyertai pertandingan catur sejak usia lima tahun.

Jelas ibu kanak-kanak berkenaan yang dikenali sebagai Zahidahtul Kamaliah Saharun, bakat Alisya mula dikesan oleh jurulatih catur di sekolah abang Alisya, Muhammad Aiman Zarif.

“Pada mulanya, jurulatih catur di sekolah Aiman iaitu Ismail Ahmad nampak potensi pada dirinya menyebabkan saya dan suami, Mohd Izuan Mustaffa, bersetuju untuk menghantarnya menjalani kelas peribadi dengan Ismail.

“Ketika itu, Alisya kerap mengganggu abangnya semasa bermain catur. Melihat keadaan itu, jurulatih membenarkan Alisya untuk turut serta dalam kelasnya bersama abangnya.

“Bermula daripada situ, jurulatihnya melihat kebolehan dan bakat Alisya dalam sukan catur,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Alisya Dah Sertai Lebih 70 Pertandingan Catur

Kongsi Zahidahtul Kamaliah yang berusia 37 tahun, Alisya yang merupakan anak kedua dari tiga beradik itu telahpun menyertai lebih dari 70 pertandingan catur termasuklah secara dalam talian.

“Antara pertandingan yang pernah disertainya adalah Annual Russian House Open Chess Tournament 2025, Pearl Point Shopping Mall 2025 dan 18th IGB Malaysian Chess Festival.

“Dalam kebanyakan pertandingan disertai, Alisya dinobat juara kategori bawah tujuh tahun atau kategori bawah 12 tahun,” jelasnya.

Ibu & Bapa Alisya Beri Sokongan

Tambah wanita itu lagi, dia dan suami sentiasa memberi sokongan kepada anak perempuan mereka dengan menghantar si cilik itu mengikuti kelas peribadi dan membawanya ke pertandingan catur hampir setiap minggu.

“Sebagai persiapan mewakili Malaysia, Alisya sedang menjalani latihan intensif dengan jurulatihnya yang dijalankan setiap Ahad bermula jam 9 pagi hingga jam 4 petang.

“Malah, Alisya juga membuat latihan menyelesaikan minimum 100 ‘puzzle’ setiap hari selain menyertai pertandingan catur dalam talian,” kongsinya lagi.

Sasar Kumpul 100 Pingat & Piala Pada Tahun 2025

Jelas Zahidahtul Kamaliah yang juga merupakan seorang guru, anaknya itu tekad untuk mengumpul 100 piala dan pingat pada tahun ini.

“Alisya juga ada maklumkan kepada kami mengenai cita-citanya untuk bergelar Women Grand Master (dalam catur) yang pertama di Malaysia.

“Kami berharap Alisya dapat mengharumkan nama negara pada pertandingan antarabangsa bulan depan dan berjaya mencapai cita-citanya bergelar Women Grand Master,” katanya.

Kejayaan Buat Alisya Automatik Layak Ke Peringkat Antarabangsa

Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat Persekutuan Catur Malaysia (MCF), Najib Wahab, menjelaskan kejayaan si cilik itu secara automatik menyebakan dia layak mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa.

“Alisya adalah wakil rasmi Malaysia ke kejohanan catur FIDE World Cadets Rapid and Blitz Chess Championship for U8, U10 and U12 yang berlangsung di Rhodes, Greece mulai 12 hingga 18 April nanti.

“Ini susulan Alisya menjuarai Kejohanan Catur Remaja dan Kanak-kanak Kebangsaan untuk peringkat umur bawah lapan tahun yang berlangsung di Taiping, Perak pada awal Februari lalu,” jelasnya.

Dari Main Suka-Suka Ke Juara Catur Kebangsaan U8G, Alisya Zehra (Caca) Kini Bersedia untuk Bertanding di Pentas Dunia di…

Posted by Zahidahtul Kamaliah on Wednesday 5 March 2025

Source: