liza04/11/2026 - 17:51 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Nov – Tiada pembida tampil untuk membeli hartanah bernilai RM152.77 juta milik Mines Waterfront Business Park Sdn Bhd (MWBP), anak syarikat Country Heights Holdings Berhad yang sedang dalam proses pembubaran, menyebabkan lelongan awam hartanah berkenaan gagal.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata berkata, lelongan berkenaan bermula jam 9 pagi menerusi platform e-Lelong.
“Lelongan itu dimulakan oleh MBSB Bank Berhad susulan perintah jualan (Order for Sale) yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Malaya di Shah Alam.
“Perintah berkenaan dikeluarkan di bawah Kes No. BA-38-558-02/2026 bagi hartanah yang didaftarkan di bawah Hak Milik HSD 59887, Lot PT 16715, Mukim Petaling, Daerah Petaling, Selangor,” katanya.
Harga rizab yang ditetapkan bagi lelongan itu ialah RM152.766 juta, manakala hartanah berkenaan merangkumi pembangunan Mines Waterfront Business Park termasuk blok pejabat yang telah siap, unit yang masih belum terjual, bangunan yang belum siap serta tanah komersial kosong.
Cagaran pembiayaan MBSB
CHHB berkata, hartanah tersebut sebelum ini dicagarkan kepada MBSB sebagai jaminan bagi kemudahan pembiayaan yang diberikan kepada MWBP.
Dalam pembiayaan berkenaan, CHHB telah memberikan jaminan korporat manakala pemegang saham utama CHHB, Tan Sri Lee Kim Yew, memberikan jaminan peribadi terhadap kemudahan pembiayaan tersebut.
Lelongan kehakiman itu merupakan sebahagian daripada proses penguatkuasaan dan pemulihan MBSB berhubung jumlah keberhutangan yang masih tertunggak. - DagangNews.com






