liza29/09/2026 - 09:13 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Sept – Ayer Holdings Bhd merancang membeli dua bidang tanah pegangan bebas seluas 3.69 hektar (9.11 ekar) di Jalan Kuchai Lama pada harga RM138 juta secara tunai untuk pembangunan projek pada masa depan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Ayer berkata anak syarikat milik penuhnya, Kuchai Urban Development Sdn Bhd telah memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Bukit Cemerlang Sdn Bhd pada 28 September 2026.
Menurut kumpulan itu, cadangan pengambilalihan tersebut memberi peluang kepada Ayer memperluas portfolio tanahnya di kawasan kejiranan Kuala Lumpur yang sudah matang dan mempunyai pelbagai populasi termasuk golongan profesional muda serta keluarga yang semakin berkembang.
“Lokasi berkenaan dijangka memberi peluang untuk memenuhi permintaan terhadap pembangunan kediaman dan gaya hidup, selaras dengan kedudukannya dalam kawasan bandar yang telah mempunyai pelbagai kemudahan serta akses pengangkutan.
“Harga pembelian RM138 juta itu adalah 4.8% lebih rendah berbanding nilai RM145 juta yang ditetapkan oleh penilai bebas, CBRE WTW Valuation & Advisory Sdn Bhd, berdasarkan penilaian bertarikh 15 September 2026,” katanya dalam makluman tersebut.
Dua bidang tanah untuk pembangunan masa depan
Tanah pertama berkeluasan 0.83 hektar (2.06 ekar) dan mempunyai hak milik tanah bagi penanaman pokok buah-buahan manakala tanah kedua seluas 2.85 hektar (7.05 ekar) diperuntukkan bagi penanaman kopi.
Kedua-dua tanah itu kini berstatus pertanian dan Ayer perlu mendapatkan kelulusan pihak berkuasa negeri bagi menukar kegunaannya kepada tujuan komersial sebelum sebarang pembangunan komersial dapat dilaksanakan.
Tanah berkenaan mempunyai nilai buku bersih sebanyak RM703,815 pada 31 Disember 2025. Penjual memperoleh tanah pertama pada harga RM89,843 pada 4 Disember 1972, manakala tanah kedua dibeli pada harga RM296,249 pada 22 Disember 1973.
Dari segi lokasi, kedua-dua bidang tanah itu terletak kira-kira 12 kilometer (km) di barat daya pusat bandar Kuala Lumpur dan sekitar 7km di tenggara Petaling Jaya New Town.
Ia juga berhampiran beberapa kawasan tumpuan bandar seperti Mid Valley City, KL Eco City, Bangsar South dan Taman Desa, selain mempunyai akses melalui beberapa lebuh raya utama termasuk Jalan Klang Lama, Lebuhraya New Pantai (NPE) dan KESAS serta berhampiran pusat pengangkutan awam.
Dibiayai dana dalaman dan pinjaman bank
Ayer berkata cadangan pembelian itu akan dibiayai 20% melalui dana yang dijana secara dalaman, manakala baki 80% melalui pinjaman bank.
Urus niaga itu dikategorikan sebagai transaksi pihak berkaitan (related-party transaction) berikutan keluarga Lim merupakan pemegang saham utama dalam Ayer dan Bukit Cemerlang melalui kepentingan mereka dalam Bee Guan Sdn Bhd dan Twin Trees Holdings Sdn Bhd.
Cadangan pengambilalihan itu masih tertakluk kepada kelulusan pemegang saham tidak berkepentingan dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) kumpulan dan dijangka selesai pada suku pertama 2027.
Ayer melantik UOB Kay Hian (M) Sdn Bhd sebagai penasihat utama manakala BDO Capital Consultants Sdn Bhd dilantik sebagai penasihat bebas kepada pengarah dan pemegang saham tidak berkepentingan bagi menilai sama ada transaksi itu adil dan munasabah serta tidak memudaratkan kepentingan mereka. - DagangNews.com






