hamden06/08/2026 - 10:01 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Ogos - TASCO Bhd mampu mencatat pertumbuhan pendapatan yang lebih kukuh pada separuh kedua tahun kewangan 2027 (2HFY27), disokong oleh permulaan operasi dua gudang baharu serta penerimaan insentif rebat cukai Perkhidmatan Logistik Bersepadu (ILS) yang dijangka memberi kesan positif mulai suku keempat FY27.
RHB Research berkata, meskipun keputusan kewangan suku pertama FY27 berada di bawah jangkaan, prospek syarikat masih kekal positif berikutan beberapa pemangkin yang dijangka mula menyumbang kepada prestasi kewangan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Firma penyelidikan itu berkata, gudang baharu di Shah Alam Logistics Centre (SALC) dan Northport yang mempunyai kapasiti gabungan seluas 700,000 kaki persegi dijangka memulakan operasi pada Ogos selepas siap dibina pada Jun.
Katanya, pembukaan fasiliti baharu itu bukan sahaja meningkatkan kapasiti logistik kumpulan, malah dijangka menghasilkan penjimatan kos operasi bulanan sekitar RM200,000 hingga RM300,000 susulan penutupan gudang lama seluas 370,000 kaki persegi.
"Selain itu, manfaat daripada rebat cukai ILS dijangka mula direalisasikan pada suku keempat FY27, sekali gus membantu mengurangkan kadar cukai efektif kepada di bawah 20% bagi keseluruhan tahun kewangan.
"Kedua-dua faktor ini dijangka menjadi pemangkin utama kepada pemulihan keuntungan TASCO pada separuh kedua FY27," katanya dalam nota penyelidikan.
Perniagaan Penghantaran Udara
Menurut RHB Research, walaupun syarikat berdepan kelemahan dalam segmen penghantaran laut (OFF), logistik kontrak (CL) dan rantaian bekalan sejuk (CSC), prestasi itu dijangka diimbangi oleh pertumbuhan kukuh perniagaan penghantaran udara (AFF).
Prestasi AFF terus mendapat manfaat apabila kekurangan ruang kapal susulan konflik di Timur Tengah menyebabkan lebih banyak penghantaran kargo pusat data bernilai tinggi beralih daripada pengangkutan laut kepada udara.
Dari sudut penilaian, RHB Research berpandangan saham TASCO masih diniagakan pada paras yang menarik, iaitu sekitar lapan kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E), atau satu sisihan piawai di bawah purata lima tahunnya sebanyak 10 kali, sekali gus menawarkan potensi penilaian semula apabila prestasi operasi kembali pulih.
Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan 'Beli' terhadap TASCO, namun menurunkan harga sasaran kepada RM0.62 daripada RM0.66 selepas menyemak turun unjuran pendapatan FY27 hingga FY29 sekitar 7%.
Walaupun begitu, saham syarikat itu masih menawarkan potensi kenaikan sekitar 56% daripada harga semasa, selain dijangka memberikan hasil dividen sekitar 4% bagi FY28. - DagangNews.com





