
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Minggu lalu, kecoh di media sosial mengenai penganjuran Program Pemberian Insentif Wang Tunai Penyerahan Anjing Terbiar Secara Sukarela yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Seremban (MBS).
Menerusi poster yang dimuat naik di Facebook, orang awam berpeluang mendapat ganjaran wang tunai bernilai RM50 bagi seekor anjing dewasa dan RM25 bagi seekor anak anjing yang berusia bawah enam bulan.
Program yang bakal bermula pada 24 Ogos ini nyata mendapat perhatian sehingga ramai yang memberi pelbagai pendapat dan reaksi mengenai penganjuran inisiatif terbabit.
Ambil Upah Tangkap Anjing Terbiar Adalah Harus – Mufti Negeri Sembilan
Baru-baru ini, Mufti Negeri Sembilan, Prof Datuk Dr Mohd Faudzinaim Badarudin tampil memberi pendapatnya mengenai penganjuran program terbabit.
Jelas Mohd Faudzinaim, ia bukanlah menjadi masalah buat MBS untuk melaksanakan program berkenaan.
Ini kerana jelas beliau, pemberian upah berkenaan adalah diharuskan selagi bayaran itu dibuat atas usaha atau kerja yang dilakukan.
“Hukum ambil upah itu adalah harus kerana ia adalah upah yang dibayar atas usaha atau kerja yang dilakukan, bukannya bayaran kepada anjing yang diserahkan,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
Islam Benar Tangkap Anjing Terbiar Jika Haiwan Beri Ancaman Kepada Masyarakat – Mufti Negeri Sembilan
Jelas Mohd Faudzinaim, agama Islam membenarkan anjing terbiar ditangkap lebih-lebih lagi jika haiwan berkenaan berada dalam keadaan yang tidak terkawal sehingga memberi ancaman kepada masyarakat.
Pun begitu beliau menegaskan, Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk menganiaya, menyeksa mahupun membunuh haiwan berkenaan ketika tangkapan dibuat.
“Tindakan itu mestilah dilakukan dengan rasa belas kasihan,” katanya.
Anjing Terbiar Yang Memudaratkan Sehingga Menyerang Manusia Boleh Dimatikan Namun Dengan Rasa Ihsan & Tidak Menyeksa
Tambah Mohd Faudzinaim lagi, jika anjing terbiar memudaratkan manusia kerana gila atau agresif sehingga ia menyerang manusia, Islam membenarkan ianya dimatikan
Pun begitu, tindakan tersebut hanya dilakukan sebagai usaha terakhir apabila tidak ada lagi usaha yang boleh memulihkan anjing berkenaan.
Malah, ia seharusnya dilakukan dengan rasa ihsan serta tidak menyeksanya.
“Jika anjing terbiar yang memudaratkan manusia kerana gila atau terlalu agresif sehingga menyerang manusia, Islam membenarkan ia dibunuh (dimatikan).
“Tapi diingatkan bahawa tindakan itu perlu dilakukan dengan rasa ihsan dan tidak menyiksanya.
“Langkah itu bertujuan menjaga kemaslahatan, yakni kebaikan dan manfaat masyarakat dengan menghilangkan mudarat atau bahaya yang berpunca daripada anjing terbiar yang agresif atau berpenyakit,” katanya.
Sebagai info, antara kaedah pelupusan bagi anjing terbiar adalah secara suntikan dan disahkan mati oleh Pegawai Veterinar atau mana-mana pegawai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terlatih dan telah diturunkan kuasa oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
Menurut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Saari Sungib di Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021, PBT Negeri Selangor mengguna pakai Pekeliling Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bil 5 Tahun 2014 iaitu Tatacara Operasi Piawaian Penangkapan dan Pelupusan Anjing Terbiar di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan dalam pengurusan anjing terbiar yang ditangkap oleh pihak PBT.
Tambahnya, kaedah menembak tidak pernah dilaksanakan oleh PBT di negeri itu bagi pelupusan anjing terbiar.
Program Tangkap Anjing Liar Wajar Dilaksanakan, Jamin Keselamatan Penduduk Setempat – MB Negeri Sembilan
Sebelum ini, Program Pemberian Insentif Wang Tunai Penyerahan Anjing Terbiar Secara Sukarela yang dianjurkan oleh MBS mendapat perhatian ramai termasuklah kumpulan hak asasi haiwan, Lawyers for Animal Rights yang mendesak agar program tersebut dihentikan secara serta-merta.
Jelas mereka, garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menyatakan aktiviti mengangkap haiwan berisiko tinggi dan memerlukan petugas terlatih.
Malah, ia juga dilihat boleh mewujudkan risiko haiwan peliharaan dicuri dan diculik.
Namun Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menjelaskan masyarakat seharusnya melihat pelaksanaan inisiatif berkenaan dari sudut yang positif.
Ini kerana jelasnya, ia satu program yang wajar dilaksanakan bagi menjamin keselamatan penduduk setempat.
Baca Artikel Berkaitan: MB N9 Sokong Usaha MBS – “Jika Terlalu Banyak Anjing Liar Boleh Ancam Keselamatan Rakyat, Wajar Ambil Tindakan”
Baca Artikel Berkaitan: Kumpulan Hak Asasi Haiwan Desak Majlis Bandaraya Seremban Henti Program Tangkap Anjing Terbiar






