
Kota Kinabalu: Seorang pekerja pembinaan yang menumbuk mulut pengurus keselamatannya sehingga menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri, dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini.
Majistret Marilyn Kelvin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Faizal Umar selepas dia mengaku bersalah dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Lui Yuhang, seorang warganegara China.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 8.30 malam pada 30 Oktober lalu di tapak pembinaan Bayu Condominium, Jalan Damai, Lorong Kenawai 2, Dah Yeh Villa, di sini.
Kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah diberitahu pengadu dimaklumkan oleh seorang kakitangan bahawa berlaku pergaduhan di tapak pembinaan berkenaan dan pengurus keselamatan telah diserang oleh seorang pekerja lain yang dikenal pasti sebagai Mohd Faizal.
Pengadu kemudian membuat laporan polis bagi memaklumkan kejadian itu kepada pihak berkuasa dan syarikat manakala mangsa turut membuat laporan polis menyatakan bahawa dia ditumbuk di bahagian mulut sehingga tidak sedarkan diri.
Mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth II untuk mendapatkan rawatan sebelum dibenarkan keluar dengan diberikan ubat sapuan dan ubat tahan sakit.
Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian dalam dan luar bibir serta kesan calar pada lengan kanannya.
Menurut fakta kes, polis kemudian menahan Mohd Faizal di tepi jalan di Jalan Pahlawan, Kepayan, kira-kira jam 4.30 petang pada hari sama.
Sementara itu, seorang lelaki warga Filipina berusia 21 tahun turut dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan kerana mencuri telefon pintar milik seorang wanita.
Melvin Mat Miasin mengaku bersalah mencuri telefon pintar milik wanita berusia 24 tahun itu kira-kira jam 3 petang pada 26 Ogos lalu di Bandar Sierra, berhampiran sini.
Mahkamah diberitahu Melvin berpura-pura meminjam telefon wanita itu untuk membuat pembayaran sebelum melarikan diri bersama telefon berkenaan.
Selepas menjalani hukuman, Melvin diperintahkan supaya dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Pegawai Pendakwa Inspektor Yusdi Basri mengendalikan kedua-dua kes berkenaan.






