sarah17/11/2026 - 17:05 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Nov - Digital Nasional Berhad (DNB) dan Ericsson kini menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mampu mengesan, mengenal pasti punca serta menyelesaikan gangguan rangkaian 5G secara automatik dengan campur tangan manusia yang minimum.
Keupayaan itu memperoleh pengesahan Rangkaian Autonomi Tahap 4 daripada TM Forum bagi tiga kategori gangguan rangkaian akses radio (RAN), iaitu masalah peralatan, komunikasi dan persekitaran, yang merangkumi 98% insiden dalam operasi harian rangkaian DNB.
Menurut kenyataan bersama kedua-dua syarikat, teknologi berkenaan menggunakan AI untuk menganalisis punca gangguan, menentukan tindakan pemulihan dan melaksanakannya secara automatik, sekali gus mempercepat penyelesaian masalah serta meningkatkan kestabilan rangkaian 5G.
DNB antara enam pengendali terkemuka dunia
Pencapaian itu turut meletakkan DNB dalam kalangan enam pengendali terkemuka dunia yang mempunyai dua pengesahan Rangkaian Autonomi Tahap 4 atau separa Tahap 4 berdasarkan senarai awam TM Forum setakat Oktober 2026.
Ketua Pegawai Teknologi DNB, Ken Tan berkata, penggunaan AI dalam pengurusan gangguan merupakan langkah susulan selepas syarikat berjaya menerapkan teknologi sama bagi meningkatkan prestasi rangkaian.
“Kes penggunaan AI pertama kami tertumpu pada pengurusan prestasi rangkaian. Kini, kami menggunakan pembelajaran daripada usaha tersebut dalam pengurusan gangguan, dan terus memanfaatkan teknologi baharu untuk menjadikan rangkaian 5G DNB lebih berdaya tahan,” katanya.
Perkukuh perkhidmatan 5G perusahaan
Sementara itu, Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hägerbro berkata, teknologi operasi berasaskan matlamat yang dibangunkan Ericsson membantu meningkatkan kualiti, daya tahan dan kecekapan pengurusan rangkaian, selain menyokong penggunaan AI serta pendigitalan dalam kalangan perusahaan.
Sebagai latar belakang, DNB dan Ericsson memperoleh pengesahan pertama di dunia daripada TM Forum bagi Autonomi Tahap 4 untuk Jaminan Perkhidmatan 5G pada Oktober 2025, manakala pengesahan terbaharu ini memperluas penggunaan AI kepada pengurusan gangguan rangkaian bagi menyokong perkhidmatan 5G yang lebih stabil dan boleh dipercayai.- DagangNews.com






