“Doakan Abang Saya…” – Setia Jaga Ibu Uzur & Kakak Istimewa, Pengorbanan Lelaki Ini Buat Ramai Tersentuh

31 Jan 2026 • 11:27 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Bukan semua orang sanggup mengetepikan kebahagiaan sendiri demi keluarga.

Dalam dunia yang serba mengejar masa dan impian peribadi, masih ada insan yang memilih untuk kekal di sisi ibu bapa, memikul tanggungjawab tanpa banyak soal.

Kisah inilah yang membuatkan ramai warganet tersentuh apabila seorang lelaki rela menangguhkan soal jodoh semata-mata mahu menjaga ibu yang semakin uzur serta kakak istimewanya.

Satu perkongsian menyentuh hati tular di platform Threads apabila seorang wanita meluahkan rasa syukur memiliki seorang abang yang sanggup berkorban demi keluarga tercinta.

Menerusi hantaran oleh pengguna akaun @nur_atika_danudin, dia meminta orang ramai mendoakan agar abangnya dipertemukan dengan jodoh yang baik kerana lelaki itu memilih untuk menangguhkan perkahwinan demi menjaga ibu mereka.

Menurutnya, sejak ibunya masih sihat sehinggalah keadaan semakin lemah, abangnya itulah yang setia menguruskan makan minum dan keperluan harian.

“Korang doakan abang saya yang sorang ni dapat jodoh yang baik ya. Dia sanggup tak kahwin lagi sebab jaga mak. Dari mak sihat sampai mak dah uzur pun dia yang jaga.”

Katanya lagi, abangnya seorang yang sangat peramah dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja.

“Dia ni orang mana pun dia pergi tegur,” tulisnya berseloroh.

Dalam video dikongsikan, kelihatan lelaki itu rancak berbual dengan seorang warga emas sehingga ada yang menyangka itu ibunya sendiri. Namun, wanita tersebut menjelaskan individu berkenaan hanyalah orang lain yang ditemuinya ketika menunggu ibunya di bahagian kecemasan klinik, sekali gus mencetuskan ‘plot twist’ lucu yang membuat ramai netizen terhibur.

Malah di ruangan komen, ada yang berseloroh, “Plot twist betul… ingatkan mak dia tadi,” manakala seorang lagi menulis, “Abang dia sembang macam arwah nenek kita, ramah betul dengan orang tua,” menggambarkan personalitinya yang mudah didekati.

Abang Pikul Tanggungjawab Keluarga Tanpa Keluh Kesah

Pada masa sama, tanggungjawab lelaki itu bukan terhenti setakat menjaga ibu sahaja.

Difahamkan, dia juga menjaga kakak mereka yang merupakan orang kurang upaya dan memerlukan perhatian penuh setiap hari.

“Saya ada kakak yang tak normal. Kakak saya tu pun abang saya yang jaga makan minum dia.”

Sikap prihatin itu turut terserlah dalam kehidupan seharian. Dia gemar menjamu orang makan dan sentiasa memastikan orang sekeliling berada dalam keadaan baik.

Menurut adiknya, setiap kali pulang dari kerja, soalan pertama yang akan ditanya hanyalah ringkas, “dah makan belum?” sebelum mengingatkan ahli keluarga supaya menunaikan solat.

Perkara itu membuatkan ramai tersentuh, malah ada netizen menyifatkannya sebagai ‘green flag husband material’ dan mendoakan agar lelaki tersebut dipermudahkan segala urusan.

“Jarang jumpa lelaki macam ni zaman sekarang, jaga mak dan kakak sekali,” tulis seorang pengguna.

Seorang lagi turut berkongsi, “Besar pahala abang Nor Atika. Mak ayah memang bertuah ada anak macam ni.”

Jelas, pengorbanan dan kasih sayang yang ditunjukkan membuktikan masih ada insan yang meletakkan keluarga sebagai keutamaan melebihi diri sendiri. Rata-rata berharap agar segala kebaikannya dibalas dengan kebahagiaan serta dipertemukan dengan pasangan hidup yang memahami dan menghargai dirinya suatu hari nanti. – The Malaysian Update

The post “Doakan Abang Saya…” – Setia Jaga Ibu Uzur & Kakak Istimewa, Pengorbanan Lelaki Ini Buat Ramai Tersentuh appeared first on The Malaysian Update.