
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sudah menjadi lumrah untuk setiap perempuan di mana mereka akan datang haid pada setiap bulan yang keluar daripada tubuh melalui faraj.
Proses semula jadi badan wanita ini membuatkan mereka memerlukan alat seperti tuala wanita untuk menampung darah yang keluar daripada tubuh.
Namun sejak dari dahulu ramai yang dimomokkan tuala wanita yang sudah dipenuhi darah perlu dibasuh dengan air bersih sehingga bersih.
Malah ada juga yang percaya sehingga bimbang ia akan menjadi makanan syaitan atau jin yang sukakan benda kotor dan boleh menyebabkan seseorang disukai oleh makhluk ghaib ini. Perkara ini secara tidak langsung membuatkan ramai takut dan bertindak untuk membasuhnya sehingga dewasa.
Wanita tak perlu basuh tuala wanita, hanya buang di tong sanitari
Baru-baru ini, seorang doktor kesihatan yang dikenali sebagai Dr Aen Saari telah berkongsi yang sebenarnya para wanita tidak perlu membasuh tuala wanita setiap kali haid.
Jelas Dr Aen yang sering berkongsi mengenai kesihatan di X, topik yang dikongsikannya itu sedikit kontroversi sejak dahulu sehinggalah kini namun ia perlu untuk memberi kesedaran orang ramai.
“Awak sebenarnya tak perlu basuh awak punya pad (tuala wanita), dan kerana itulah adanya tong sanitari (untuk memproses tuala wanita).
“Jika awak ingin membuangnya, anda boleh membalut dengan kertas kemudian dibuang di dalam tong sanitari. Ini kerana, saya perasan apabila seseorang sudah mula membasuh tuala wanita, dia mempunyai gian (keinginan) bukan sekadar di rumah sahaja. Dia akan buat benda ni di luar (tandas awam) juga,” katanya.
Tindakan membasuh menyebabkan berlaku percikan darah halus atau mikro dan membawa bakteria
Menurut Dr Aen, tindakan seseorang membasuh tuala wanita di tandas awam akan menyebabkan percikan darah halus atau mikro yang sebenarnya sangat kotor.
Malah darah datang bulan atau period turut dikategorikan sebagai najis apabila sudah keluar daripada badan.
“Jika di hospital pun, jika pesakit itu ada kesan-kesan darah dekat baju dia. Kita tidak akan basuh sama dengan baju yang tiada darah. Sebab kita takut darah itu akan menjadi ruang kepada berlakunya jangkitan kuman kepada orang lain.
“Ini kerana, kita tidak mengetahui sama ada seseorang itu mempunyai Herpes atau Hepatitis B ke, kami tidak akan pernah tahu.”
Bungkus dengan baik dan bawa pulang jika masih ingin basuh tuala wanita
Tambahnya lagi, sekiranya seseorang masih ingin membasuh tuala wanita ia bukan satu masalah namun ia lebih baik dilakukan di rumah.
Bukan hanya itu, jika seseorang berada di luar mereka juga boleh membungkus terlebih dahulu tuala wanita yang sudah digunakan dan membasuhnya di rumah.
“Percaya pada saya, awak tak nak basuh pun tak apa. Awak hanya perlu balut dan buang seperti biasa. Saya tahu kita telah dimomokkan untuk membasuh tuala wanita, kalau tak nanti ada jin ikutlah, ada syaitan suka dekat kitalah, dia akan makan kita punya darah, akan duduk dekat kita punya rahim.
“Tetapi dalam agama sendiri sememangnya tidak ada memberitahu yang awak perlu basuh tuala wanita dan ini adalah kepercayaan budaya sahaja,” terangnya lagi.
Sebenarnya… tak perlu pun basuh pad. You ladies still basuh ke? pic.twitter.com/NrTUYbwfCq
— Dr Aen | Let's Bebel (@draenbebel) May 13, 2025
Tiada sebarang riwayat menyuruh wanita membasuh tuala wanita
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam laman sesawangnya turut menjelaskan tiada sebarang athar atau hadis yang memaklumkan tuala wanita yang mengandungi darah haid perlu dibasuh telebih dahulu sebelum membuangnya.
“Bahkan tidak ada riwayat daripada sahabat dari kalangan wanita menyatakan bahawa mereka membasuh tuala tersebut sebelum membuangnya. Juga tidak terdapat arahan dari Nabi SAW agar membasuhnya. Yang Nabi arahkan adalah jika darah tersebut terkena pakaian sepertimana hadis diriwayatkan oleh Asma’ Binti Abu Bakar.”
سَأَلَتُ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- عَنْ دَمِ الْحَيْضَةِ يُصِيبُ الثَّوْبَ فَقَالَ : حُتِّيهِ ثُمَّ اقْرُصِيهِ بِالْمَاءِ ثُمَّ رُشِّيهِ فَصَلِّى فِيه
Maksudnya: “Aku bertanya kepada Nabi SAW tentang darah haid yang terkena pada pakaian. Nabi Muhammad SAW bersabda: basuhlah ia dan gosoklah ia dengan air serta siramlah ia (setelah digosok). Kemudian solatlah dengan pakaian tersebut.” – Riwayat al-Tirmizi (138) & Abu Daud (362).
Jelasnya lagi adalah tidak benar jika ada yang mengatakan bahawa adalah perlu membasuh tuala wanita terlebih dahulu kerana dibimbangi akan menjadi makanan jin.
“Namun tidak dinafikan bahawa syaitan adalah antara kalangan yang memang menyukai perkara-perkara yang kotor dan najis,” katanya.
Beri saranan cara membuang tuala wanita
Malah Pejabat Mufti Wilayah Persekutan turut memberikan saranan beberapa cara untuk mengendalikan tuala wanita yang sudah digunakan.
- Tuala terbabit perlu dibuang di tempat yang khas, sebaiknya diasingkan dari tempat pembuangan biasa seperti yang dilakukan di hospital.
- Tidak membuang tuala wanita di merata tempat seperti mangkuk tandas dan lain-lain tempat yang tidak sesuai kerana boleh mengundang suasana tidak selesa.
Ini penjelasan Ustaz Azhar Idrus mengenai tuala wanita tak perlu dibasuh
Perkara sama turut diterangkan oleh Ustaz Azhar Idrus, malah beliau menjelaskan sebarang darah yang keluar daripada badan manusia adalah sunat untuk ditanam.
“Apa-apa darah dari badan manusia, sunat tanam walaupun sedikit. Contoh kita balik di rumah kita tengok ada jerawat atas dahi berdarah. Sikit je, kita pun ambil tisu buat begini (menekap) lekat halus je. Sunat tanam.”
Perkara ini samalah dengan darah haid wanita. Namun harus hukumnya untuk dibuang ke dalam tong sampah.
“Jangan basuh, tak perlu basuh. Kalau basuh habis darah ikan, awak siang ikan darah-darah insang nak basuh, banyak lah kerja kita. Faham? Buang begitu sahaja cuma jangan buang di tempat tidak munasabah,” jelasnya lagi.
Apakah hukum basuh darah tuala wanita? Ustaz azhar idrus #tualawanita #wanita #perempuan #ceramah #ustazazharidrus #soaljawabagama #isteri
Source:



![Baru Tersedar Kurang Rakaat Selepas Habis Solat? Ini Yang Patut Anda Lakukan [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/local.jpeg)