Drama Negeri Sembilan Berterusan, 4 Undang Gesa PM, AGC Jangan Campur Tangan Isu Istana

LocalPolitics
25 Sep 2026 • 8:33 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Drama Negeri Sembilan Berterusan, 4 Undang Gesa PM, AGC Jangan Campur Tangan Isu Istana

SEREMBAN - Drama di Negeri Sembilan nampaknya masih belum berkesudahan, dengan usaha menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir masih berterusan. 

Ia menimbulkan persoalan, apakah pihak terlibat tidak ‘gentar’ dengan natijah yang bakal diterima, atau apakah ada ‘kuasa besar’  menaungi mereka hingga semuanya begitu berani mendabik dada, mencabar kedaulatan istana?

Terbaru, empat Undang Yang Empat, termasuk tiga yang kedudukannya dipertikaikan, menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya tidak mencampuri urusan diraja negeri itu.

Tindakan mereka itu mencetuskan tanda tanya; sejauh mana kerajaan Persekutuan dan badan perundangan tertinggi negara boleh mengenepikan isu terbabit, memandangkan ia berkisar pada persoalan sama ada tindakan melucutkan kedudukan Tuanku Muhriz dibuat mengikut Perlembagaan Negeri Sembilan.

AGC sebelum ini menegaskan, pemasyhuran yang mendakwa Tuanku Muhriz telah dilucutkan daripada kedudukannya adalah tidak sah kerana tidak mematuhi proses ditetapkan Perlembagaan.

Dalam sidang media di sini hari ini, kumpulan Undang berkenaan menegaskan kuasa melantik dan menyingkir Yang di-Pertuan Besar terletak sepenuhnya pada Undang Yang Empat.

Mereka merujuk Perkara 10 dan 11 Perlembagaan Negeri Sembilan 1959, selain memberi amaran kepada Anwar supaya tidak menggunakan agensi Persekutuan dengan cara yang boleh menjejaskan pentadbiran negeri.

“Jangan melampaui batas atau mencampuri urusan yang tidak memerlukan campur tangan anda. Jangan mencetuskan kekacauan di negeri kami dengan menggunakan agensi kerajaan Persekutuan sehingga melumpuhkan pentadbiran kerajaan negeri,” kata mereka.

Mereka turut mendakwa, sebarang tindakan Perdana Menteri yang melanggar hak dan kuasa perlembagaan negeri boleh dianggap sebagai pelanggaran sumpah jawatan beliau di bawah Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan, selain Perkara 71(1) dan (2) serta prinsip federalisme.

Namun, AGC berpendirian, lpersoalan utama bukan sekadar sama ada Undang mempunyai kuasa menyingkirkan pemerintah, tetapi sama ada kuasa itu dilaksanakan mengikut kehendak Perlembagaan.

Pada 17 September lalu, AGC memaklumkan pemasyhuran bertarikh 19 April yang mendakwa Tuanku Muhriz telah disingkirkan adalah tidak sah kerana syarat di bawah Perkara 10 tidak dipenuhi.

Menurut AGC, Undang sememangnya mempunyai kuasa untuk menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar, namun kuasa itu tertakluk kepada tatacara serta alasan ditetapkan dalam Perlembagaan negeri.

AGC turut menegaskan, Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menyingkirkan pemerintah.

Bagaimanapun, Undang menegaskan, Menteri Besar Datuk Ismail Lasim dan Exco negeri hanya melaksanakan tanggungjawab perlembagaan dengan menguatkuasakan keputusan mereka berdasarkan Perkara 10.

Mereka menolak dakwaan bahawa Ismail dan Exco sendiri menyingkirkan Tuanku Muhriz, sebaliknya menyifatkan tuduhan itu sebagai “fitnah berniat jahat” yang didorong kepentingan kumpulan tertentu.

Kumpulan itu turut memberi amaran kepada parti politik supaya tidak mengambil kesempatan daripada kemelut berkenaan dengan menangguk di air keruh serta memutarbelitkan fakta berkaitan kerajaan negeri dan adat Negeri Sembilan.

“Tiada parti politik mempunyai kuasa untuk menyingkirkan mana-mana pemerintah,” kata mereka, sambil menegaskan kuasa itu adalah milik Undang Yang Empat.

Kenyataan itu dikeluarkan Undang Johol Datuk Muhammed Abdullah bersama Datuk Mubarak Dohak, Datuk Maarof Mat Rashad dan Datuk Abdul Rahim Yasin, yang kedudukan masing-masing sebagai Undang Sungai Ujong, Jelebu dan Rembau dipertikaikan.

Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri turut menandatangani kenyataan berkenaan.

Mereka berkata, kuasa memilih dan menyingkir Yang di-Pertuan Besar merupakan hak istimewa adat yang telah diamalkan lebih 500 tahun dan termaktub dalam Perkara 7, 10 dan 11 Perlembagaan negeri.

“Hanya jauhari mengenal manikam,” kata mereka.

Kemelut itu memuncak selepas Exco negeri pada 16 September mengesahkan bahawa Tuanku Muhriz telah disingkirkan pada 19 April dan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baharu. 

Ismail kemudiannya mengesahkan keputusan terbabit pada hari berikutnya.

Bagaimanapun, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) negeri menolak tindakan berkenaan dan menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai pemerintah yang sah.

Pada 20 September, Tuanku Muhriz kemudiannya membatalkan pelantikan kesemua 10 anggota Exco negeri atas alasan mereka melanggar sumpah jawatan dan mewartakan pembatalan tersebut secara rasmi. - Getaran, 25 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved