amree19/08/2026 - 09:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Ogos — Dua firma penyelidikan melihat prospek pemulihan Johor Plantations Group Berhad (JPG) pada separuh kedua 2026 (2H26) berikutan pengeluaran tandan buah segar (FFB) dijangka meningkat seiring musim puncak serta harga minyak sawit mentah (MSM) kekal menyokong.
Perkembangan positif itu menurut penganalisis, berpotensi muncul selepas kumpulan melalui tekanan keuntungan susulan kejatuhan pengeluaran buah tandan segar (FFB) dan peningkatan kos pengeluaran.
MBSB Research mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) baharu RM2.21, manakala RHB Research turut mengekalkan 'beli' dengan TP dinaikkan kepada RM2.20 daripada RM1.90.
Dalam pada itu, MBSB Research berkata hasil JPG pada 2Q26 meningkat 4.4% tahun ke tahun (YoY) kepada RM415.8 juta, disokong harga purata jualan (ASP) MSM yang lebih tinggi, tetapi pertumbuhan hasil gagal diterjemahkan kepada keuntungan apabila keuntungan bersih teras selepas kepentingan minoriti (PATAMI) susut 35.4% YoY kepada RM45.8 juta, tidak termasuk item luar biasa RM7.5 juta.
"Prestasi ini mewakili 24% daripada unjuran keuntungan setahun kami, dengan kelemahan utama berpunca daripada pengeluaran serta hasil FFB yang lebih rendah, selain kos pengeluaran yang meningkat dua digit dan menekan margin bersih kepada paras rendah belasan peratus," katanya.
Dalam segmen huluan, keuntungan sebelum cukai (PBT) susut 33.1% YoY kepada RM68.6 juta, walaupun JPG mendapat manfaat daripada harga MSM direalisasikan sebanyak RM4,644 satu tan dan harga isirung sawit (PK) RM3,887 satu tan, masing-masing meningkat 7.2% dan 4%. Pengeluaran FFB pula merosot 7.7%, manakala hasil sehektar turun kepada 7.6 tan, menyebabkan jumlah penghantaran MSM jatuh 1.1% YoY.
MBSB Research berkata kos pengeluaran meningkat 25.8% YoY kepada RM2,788 satu tan, terutamanya disebabkan pengeluaran FFB yang lebih rendah dan penyerapan kos tetap yang lemah. Kos estet turut meningkat ketara apabila perbelanjaan penyelenggaraan dan kerja lapangan melonjak 45.3% YoY berikutan caj kontraktor serta aktiviti penyelenggaraan yang lebih tinggi.
"Kami mengurangkan unjuran keuntungan FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak 22% dan 23%, meskipun menaikkan andaian harga MSM kepada RM4,400 dan RM4,350 satu tan. Pengurangan itu mengambil kira jangkaan pengeluaran FFB merosot 19% susulan aktiviti penanaman semula yang agresif, sekali gus mengecilkan kawasan tanaman yang boleh dituai," katanya.

Sementara itu, RHB Research berkata keuntungan teras 2Q26 merosot 39.7% YoY, menjadikan keuntungan teras 1H26 sebanyak RM89.3 juta, susut 37.5% YoY dan hanya menyumbang 27% daripada unjuran setahun. Tekanan itu turut disebabkan pengeluaran FFB dalaman yang lebih rendah serta kos baja dan pengangkutan yang meningkat.
RHB Research menjangkakan pengeluaran FFB pada 2H26 pulih selari dengan musim puncak pengeluaran, manakala harga MSM dijangka meningkat. Keadaan itu dianggap positif memandangkan JPG mempunyai sensitiviti tinggi terhadap pergerakan harga CPO. Bagi FY26, pengurusan menyasarkan pengeluaran FFB sekitar 1 juta tan, dengan nisbah 40:60 antara 1H dan 2H.
"Dari segi harga komoditi, ASP MSM 2Q26 meningkat 7% YoY kepada RM4,644 satu tan, iaitu premium 3% berbanding harga rujukan. JPG juga telah mengunci harga premium bagi kira-kira 70% pengeluaran FY26, yang dijangka membantu menyokong prestasi pendapatan," katanya.
RHB Research turut menjangkakan kos seunit MSM berkurangan pada 2H26 apabila pengeluaran FFB memuncak pada 3Q26. Walaupun kos pengangkutan meningkat 13.2% YoY pada 1H26, pengurusan yakin pertumbuhan kos setahun dapat dihadkan sekitar 5%.
Secara keseluruhan, kedua-dua firma melihat pemulihan 2H26 sebagai pemangkin utama JPG, khususnya melalui peningkatan pengeluaran FFB, normalisasi kos dan harga MSM yang lebih kukuh. Namun, risiko penanaman semula agresif, kebergantungan lebih tinggi terhadap pembelian FFB luar, kos baja, penyelenggaraan serta pengangkutan yang masih tinggi boleh mengehadkan pemulihan margin.
MBSB Research menaikkan TP kepada RM2.21, manakala RHB Research menetapkan RM2.20, dengan kedua-duanya kekal positif terhadap prospek jangka sederhana JPG. - DagangNews.com





