
KUALA LUMPUR – Sesi night walk yang disertai usahawan Datuk Seri Vida bersama penyanyi dan cef selebriti Datuk Fazley Yaakob serta personaliti media sosial Roslan Shah bertukar mencemaskan apabila Vida tiba-tiba mengadu pening dan tidak berada dalam keadaan baik.
Menerusi video yang tular di media sosial, Vida pada awalnya dipercayai sudah berasa kurang sihat sebelum keadaannya semakin tidak selesa ketika sesi berkenaan berlangsung.
Dalam rakaman itu, Vida dilihat mengalami keadaan seperti kepala semakin berat dan meminta bantuan selepas mengadu pening. Situasi kemudian menjadi lebih mencemaskan apabila Vida beberapa kali menyatakan dirinya tidak berada dalam keadaan baik sebelum meminta supaya dibawa ke satu lokasi.
“I’m not okay. I’m not okay. It’s really not okay,” katanya dalam rakaman berkenaan.
Dalam satu perkongsian berkaitan kejadian itu, Vida turut menjelaskan bahawa keadaan tersebut mungkin berpunca daripada keletihan selepas menyertai aktiviti night walk.
“Mungkin badan saya penat waktu laksanakan night walk bersama Ciklan. Awal-awal lagi badan rasa tak sedap,” katanya.
Keadaan Vida ketika itu turut mendapat perhatian Fazley yang kemudian dilihat membantu menenangkan usahawan terbabit sambil membacakan ayat suci al-Quran.
Lebih mencuri perhatian, Vida dilihat memberikan reaksi kurang selesa ketika Fazley membaca ayat al-Quran sambil memegang kepalanya.
Fazley sebelum ini memaklumkan keadaan Vida kembali baik pada malam sama dan meminta orang ramai supaya tidak terlalu bimbang dengan apa yang berlaku.
“Alhamdulillah, semua ok. Jangan risau, @datoserivida kesayangan korang semua dah pulih malam tu juga.
“Sesi Nightwalk bersama @realroslanshah terpaksa dihentikan awal pada malam kelmarin kerana DSV rasa kurang selesa dan kehadiran ‘mereka’ agak kuat pada saat itu.
“Namun dengan izin Allah dan ayat-ayat suci al-Quran semuanya masih dalam kawalan,” katanya.
Insiden berkenaan bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi netizen, bukan sahaja mengenai keadaan Vida ketika night walk, malah tindakan Fazley yang dilihat menyentuh dan memegang kepala Vida ketika membantunya.
Ada yang mempersoalkan batas antara kedua-duanya, malah tidak kurang juga yang mula membuat spekulasi kononnya Fazley dan Vida sudah mempunyai hubungan istimewa atau telah bernikah.
Spekulasi itu turut dikaitkan netizen dengan imej Vida yang sering dianggap sebagai seorang yang menjaga batas dalam pergaulan.
Bagaimanapun, dakwaan mengenai status hubungan kedua-duanya itu tidak dapat disahkan setakat ini dan tiada kenyataan rasmi daripada Vida mahupun Fazley berhubung spekulasi berkenaan.
Apa yang pasti, sesi night walk terbabit terpaksa dihentikan lebih awal selepas keadaan Vida dipercayai semakin tidak selesa, sekali gus mencetuskan perhatian ramai selepas rakaman kejadian itu kembali tular di media sosial.
The post DSV alami detik cemas ketika ‘night walk’, akui badan dah tak sedap sejak awal appeared first on MYBERITA.






