Dua bayi tertukar di hospital, kebenaran terbongkar selepas lebih tiga dekad

LocalFamily & Parenting
7 Aug 2026 • 10:36 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Huang Xiaolin dan Li Hui yang tertukar ketika lahir di sebuah hospital di China

Dua wanita di China hanya mengetahui mereka tertukar ketika dilahirkan selepas menjalani kehidupan bersama keluarga yang salah selama lebih tiga dekad.

Huang Xiaolin dan Li Hui dilahirkan dengan jarak 55 minit di Hospital Rakyat Qingyuan, wilayah Guangdong, pada Oktober 1989.

Menurut laporan South China Morning Post yang memetik China Newsweek, jururawat menunjukkan kedua-dua bayi itu kepada ibu masing-masing sebelum membawa mereka ke bilik bayi.

Ketika itu, pihak hospital tidak menggunakan gelang pengenalan. Nama setiap bayi hanya dicatat pada sekeping kad yang diletakkan di dalam kain bedung, manakala semua bayi memakai pakaian hospital yang sama.

Keadaan tersebut dipercayai menyebabkan Huang dan Li diserahkan kepada keluarga yang salah. Bagaimanapun, punca sebenar pertukaran itu masih belum diketahui.

Image from: Dua bayi tertukar di hospital, kebenaran terbongkar selepas lebih tiga dekad
Sijil lahir Huang | Gambar: Baidu

Huang dibesarkan dalam sebuah keluarga berada kerana pasangan yang menjaganya bekerja dengan kerajaan. Namun, perbezaan kumpulan darah dan rupa paras menimbulkan keraguan dalam kalangan keluarganya.

Bapa yang membesarkan Huang mengesyaki isterinya berlaku curang kerana Huang tidak menyerupainya. Konflik itu menyebabkan pasangan berkenaan bercerai ketika Huang berusia lima tahun dan dia kemudiannya tinggal bersama ibunya.

Huang mengambil ujian DNA pada 2022 dengan harapan dapat merungkai persoalan tersebut dan memperbaiki hubungannya dengan bapanya. Keputusan ujian sebaliknya mengesahkan bahawa kedua-dua individu yang membesarkannya bukan ibu bapa kandungnya.

Dengan bantuan polis, Huang berjaya menemukan keluarga kandungnya pada April 2025. Siasatan lanjut kemudian membawa kepada penemuan Li sebagai seorang lagi bayi yang tertukar dalam kejadian sama.

Image from: Dua bayi tertukar di hospital, kebenaran terbongkar selepas lebih tiga dekad
Sijil lahir Li | Gambar: Baidu

Berbeza dengan Huang, Li dibesarkan oleh keluarga yang mengusahakan sebuah kedai runcit kecil. Kehidupan mereka menjadi sukar selepas wang simpanan keluarga lesap akibat penipuan pelaburan ketika Li masih bersekolah rendah.

Li terpaksa berhenti sekolah menengah untuk membantu menyara keluarga. Dia melakukan pelbagai pekerjaan termasuk menjadi pemandu pelancong, penyambut tetamu hotel dan jurujual.

Tekanan kerja serta masalah kewangan turut menjejaskan kesihatannya. Li kemudian disahkan mengalami penyakit darah dan terpaksa menjalani pembedahan membuang kelenjar tiroid.

Huang dan Li akhirnya bertemu buat kali pertama di sebuah kafe. Kedua-duanya menyifatkan pertemuan tersebut sebagai mendebarkan, menggembirakan dan sedikit kekok.

Li lebih terkejut apabila mengetahui dia membesar hanya kira-kira empat kilometer dari rumah ibu bapa kandungnya. Penemuan itu membuatkannya tertanya-tanya bagaimana kehidupannya jika kesilapan tersebut tidak berlaku.

Huang pula mempersoalkan sama ada pertukaran itu menyebabkan zaman kanak-kanaknya dipenuhi syak wasangka serta hubungan yang renggang dengan bapanya.

Walaupun telah menemukan keluarga kandung, kedua-duanya memilih untuk terus menjaga keluarga yang membesarkan mereka. Li berkata, ibunya tidak mempunyai pencen dan masih bergantung kepadanya untuk mendapatkan sokongan.

Mereka kemudian meminta rekod kelahiran daripada hospital bagi mengetahui bagaimana pertukaran itu berlaku. Namun, pihak hospital memaklumkan bahawa dokumen berkenaan tidak dapat ditemukan.

Huang turut diberitahu bahawa sebahagian kakitangan yang bertugas ketika kelahiran mereka telah bersara, manakala beberapa yang lain sudah meninggal dunia.

Kedua-dua wanita itu kini menuntut pampasan keseluruhan sebanyak 2.6 juta yuan (AS$385,000) daripada hospital berkenaan. Kes tersebut dijadualkan didengar pada 13 Ogos 2026.

Sumber: South China Morning Post

The post Dua bayi tertukar di hospital, kebenaran terbongkar selepas lebih tiga dekad appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved