Dua-dua dituduh sebabkan kesakitan terhadap anjing ‘Rocky’

20 Aug 2026 • 10:23 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Dituduh sebabkan kesakitan anjing

KLANG: Lelaki penangkap anjing dan seorang wanita dipercayai pemilik haiwan itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kesakitan terhadap haiwan tersebut pada 29 Julai lalu.

Tertuduh, Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom, 24, dan S. Roghini Devi, 42, membuat pengakuan demikian selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka secara berasingan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Shah didakwa secara tidak munasabah telah menjerut seekor anjing jantan menggunakan tali gelung (loop) sehingga menyebabkan kesakitan ke atas haiwan itu sementara Roghini pula didakwa secara tidak munasabah menariknya.

Kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah rumah di Jalan Sama Gagah, Taman Telok Gedung Indah, Pelabuhan Klang antara pukul 11 hingga 11.30 malam pada 29 Julai lalu.

Sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya, mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama.

Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Mohd. Sharif Sabran mencadangkan jaminan RM20,000 bagi kedua-dua tertuduh dengan seorang penjamin dan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di Jabatan Veterinar Selangor.

Dituduh sebabkan kesakitan anjing
MUHAMMAD Shah Idham Nor Haikal Shaharom dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyebabkan kesakitan terhadap anjing ‘Rocky’, di Klang, hari ini. – UTUSAN / AFIQ RAZALI

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali memohon jaminan RM3,500 dengan Muhamad Shah tidak risiko melarikan diri.

“Jaminan tidak seharusnya menjadi bentuk hukuman dengan cadangan jaminan itu adalah setimpal dengan hukuman pada seksyen pertuduhan. Syarat tambahan dikenakan adalah menekan belum didapati bersalah. Tertuduh juga sudah 22 tahun tinggal di tempat sama,” katanya.

Peguam Jeremy Vinesh Anthony mewakili Roghini memaklumkan anak guamnya menanggung ahli keluarga selain suaminya merupakan Orang Kurang Upaya.

“Dia adalah ibu kepada empat anak dan memohon jaminan RM3,500 tanpa syarat tambahan,” ujarnya.

Hakim Mujib Saroji kemudian menetapkan jaminan RM6,000 setiap seorang penjamin dan melaporkan diri sebulan sekali di Jabatan Veterinar Selangor. Sebutan semula kes pada 8 Oktober depan. – UTUSAN

The post Dua-dua dituduh sebabkan kesakitan terhadap anjing ‘Rocky’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved