
KLANG: Selepas dituduh mendatangkan kesakitan terhadap haiwan, seorang wanita dipercayai pemilik anjing ‘Rocky’ dihadapkan ke Mahkamah Majistret pula atas pertuduhan memelihara anjing tanpa lesen pada 29 Julai lalu.
Bagaimanapun, tertuduh S. Roghini Devi, 42, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan, Roghini didakwa memelihara seekor anjing melebihi usia tiga bulan tanpa lesen yang sah dikeluarkan Majlis Perbandaran Klang (MPK).
Perbuatan itu dilakukan di hadapan sebuah rumah di Jalan Sama Gagah, Taman Teluk Gedung Indah, kira-kira pukul 10.50 malam pada 29 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3 Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing dan Rumah Pembaikan Anjing (MPK) 2007 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Salman Alfarisi manakala tertuduh diwakili Peguam Jeremy Vinesh Anthony.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM1,000 dan sebutan semula kes pada 8 Oktober depan.
Terdahulu, suri rumah itu membuat pengakuan yang sama ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mendatangkan kesakitan terhadap haiwan tersebut.
Dia dituduh di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 29(1) akta sama. – UTUSAN
The post Roghini tak mengaku pelihara anjing ‘Rocky’ tanpa lesen appeared first on Utusan Malaysia.






