
SHAH ALAM: Seramai empat lagi lelaki diburu polis dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan membabitkan dua kumpulan kongsi gelap sehingga seorang daripada mereka maut di Seksyen 33, di sini, bulan lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, mereka adalah antara tujuh yang diburu polis bagi membantu siasatan, tiga daripadanya sudah pun ditahan secara berasingan sejak 4 September lalu.
Beliau berkata, kesemua yang ditahan itu berusia antara 20-an hingga 40-an.
“Sebelum ini ada tiga tangkapan terbaru di sekitar bandar raya ini, siasatan dijalankan dan sudah pun memperolehi arahan pertuduhan untuk ketiga-tiga mereka. Justeru, baki empat lagi yang sedang dikesan dalam senarai dikehendaki itu.
“Kami berterima kasih kepada masyarakat selepas menguar-uarkan gambar suspek yang dikehendaki. Insya Allah, tangkapan (suspek diburu) akan dilakukan segera dan mereka disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Isnin lalu, polis dilapor memburu tujuh lelaki berusia 23 hingga 46 tahun bagi membantu siasatan yang berlaku di Alam Megah pada 25 Ogos lalu.
Dalam kes tersebut, seorang lelaki berusia 23 tahun maut di tempat kejadian dan mangsa disahkan mempunyai enam rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
Akhir bulan lalu, polis menahan 11 individu, bagaimanapun lapan daripadanya didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sementara tiga lagi dibebaskan dengan jaminan.
Sementara itu dalam perkembangan kes gaduh bersenjatakan parang dan objek menyerupai senjata api di Taman Sri Muda pada 13 Ogos lalu, polis masih memburu tiga lelaki dipercayai terlibat.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan. – UTUSAN
The post Tiga ditahan, empat diburu terlibat kes bunuh appeared first on Utusan Malaysia.






