
JASIN: Dua penunggang motosikal maut selepas motosikal mereka bertembung ketika salah seorang dipercayai cuba memotong kenderaan di Jalan Gapam berhampiran Petronas Bemban, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, Muhammad Thoriq Thani Ahmad Azam, 21, dan Md Samsul Mat Halif, 41, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang Md. Samsul dari arah Ayer Keroh menghala ke Bemban memasuki laluan bertentangan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya.
Menurut beliau, pada masa sama, motosikal ditunggang Muhammad Thoriq sedang bergerak lurus di laluannya dari arah Bemban menghala ke Ayer Keroh.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, motosikal ditunggang Md Samsul dipercayai telah memasuki laluan bertentangan ketika melakukan cubaan memotong sebelum bertembung dengan motosikal ditunggang Muhammad Thoriq.
“Akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, Muhammad Thoriq yang berasal dari Kampung Seberang Batu Hampar, Rembau, Negeri Sembilan, merupakan pelajar Kolej Mutawwif, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Lendu, Alor Gajah.
Katanya, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda 110Z berwarna hijau dari arah Bemban menghala ke Ayer Keroh itu didapati belum memperoleh lesen memandu.
“Md Samsul berasal dari Felda Jelai Satu, Gemas, Negeri Sembilan bekerja sebagai pemandu lori dengan sebuah syarikat penghantaran di kawasan IKS Taman Merdeka yang menunggang motosikal jenis Honda Dash 125AFP turut didapati belum memiliki lesen memandu,” katanya.
Lee Robert berkata, pihak polis turut menjalankan pemeriksaan terhadap rekod kedua-dua mangsa bagi membantu siasatan.
“Semakan mendapati Muhammad Thoriq mempunyai dua rekod saman yang telah dijelaskan, manakala Md Samsul mempunyai sembilan rekod saman yang turut telah dijelaskan,” katanya.
Beliau berkata, bedah siasat dijadualkan dijalankan di Unit Forensik Hospital Jasin kira-kira pukul 8.30 pagi ini selepas proses pengecaman mayat oleh waris selesai.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman terhadap kesalahan menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan. – UTUSAN
The post Dua penunggang motosikal maut bertembung ketika cuba memotong appeared first on Utusan Malaysia.






